Najib PM Terakhir Umno


 

By Jalan Telawi

Ketika orang berdedai-dedai turun ke jalan raya dengan si tua kelaparan, anak muda tak berpekerjaan, bayi kesejukan kala malam dan satu-satunya harapan politik terakhir ialah berdemontrasi, Saif al-Islam Gaddafi bergilir ditemuramah wartawan dari ruang Istana Presiden.

Saif, 39, adalah anak kedua Presiden Libya, Muammar Gaddafi. Babak-babak ini berlaku hanya beberapa bulan sebelum di Kuala Lumpur, demonstrasi bersejarah 9 Julai lalu terjadi—Bersih 2.0.

Saif yang boleh bertutur Inggeris dengan telo Arab ditugas berhadapan dengan wartawan dan media antarabangsa; menjawab dan menjelaskan kepada dunia apa yang ‘sebenarnya’ terjadi. Seperti yang terduga, omongan penguasa totalitarian di mana-mana pun sama.

Saif menuduh pendemonstran yang menentang bapanya adalah dari rangkaian pengganas al-Qaeda. Mereka juga kata Saif, “pengkhianat” yang bermunculan daripada pendalaman—sedangkan di Tripoli, ibu negeri, sentiasa aman.

Tuduhan “pengkhianat” mahupun “al-Qaeda” tak ubah seperti tuduhan pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak kepada mereka yang turun ke jalan raya kelmarin dalam demontrasi Bersih 2.0. Di sini, pemimpin dan aktivis yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat (EO) tak boleh bertemu meski dengan anak-isteri.

Revolusi di beberapa negara Arab awal tahun ini antara lain menyelongkar perasaan yang terbuku di hati rakyatnya. Bukan sahaja soal korupsi, pembolotan kekayaan negara oleh segolongan elit, tetapi gaya politik legasi-nipotisme juga mulai ditolak. Mesejnya ialah, sama ada di Tunisia, di Mesir dan Libya, dalam lubuk sanubari manusia mereka menolak pemimpin politik yang mahu mewariskan pemerintahan kepada darah keturunan sendiri.

Sedar tak sedar, antara latar kebencian dan penentangan menjurus kepada Husni Mubarak adalah persoalan ini. Dia ditumbangkan kalamana Mubarak khabarnya dalam proses peralihan kuasa kepada pewaris yang dia sudah siapkan dari rahim isterinya, Suzanne. Menjadi rahsia umum di Mesir bahawa anak sulung Mubarak, Gamal, akan menggantikan si bapa sebagai Presiden.

Faham ala-maharaja dan rendah tamadun sebegini nampak berlaku di mana-mana. Mungkin sahaja, keresahan Sasterawan Negara, Pak Samad ada asasnya. Orang Malaysia, terutama sebelum krisis politik-ekonomi 1997-98, juga berfikiran feudal dan lapuk sebegitu. Rakyat kebanyakan (yang sekaligus memegang kuasa undi terbesar), dengan mudah-mudah melepaskan kuasa politik-pemerintahan kepada kelompok kelas atas, atau apa yang disebut Pak Samad sebagai “golongan bangsawan”.

Cacatnya golongan ini mudah, iaitu mereka (yang dibesar dalam lingkungan elit) takkan dapat merasakan denyut-nadi rakyat sampai ke bawah-bawah. Jauh lagi untuk fahami. Bukan juga rahsia apabila golongan bangsawan itu tak mahu anak-anak mereka bersekolah di sekolah mahupun universiti kebangsaan. Sementara sistem pendidikan yang mereka cipta dan mahu rakyat mendukung, mereka sendiri tak memakainya.

Pak Samad menamakan dari PM pertama, Tunku Abdul Rahman Putra yang lahir di anjung istana, sehingga kepada PM hari ini, Najib yang orang tuanya juga perdana menteri. Menurut Pak Samad, yang terlepas daripada lingkungan keluarga bangsawan [barangkali] cuma Dr Mahathir Mohamad. Abdullah Badawi yang sempat berkuasa sekelip mata, yang lahir daripada tatanan agamawan juga ditanda sebagai cebis-cebisan golongan bangsawan.

Rakyat selalu diwar-warkan, dipaku di dalam fikiran dan hati bahawa anak kepada seorang perdana menteri, misalnya, sediakala arif soal politik dan pentadbiran. Dia boleh meneruskan apa yang baik, yang pernah dilakukan oleh bapanya. Semua keyakinan ini tertanam sejak awal-awal lagi, dan, tak pernah dipersoal entah iya entahkan tidak. Padang permainan tak pernah sama rata…

 

SELANJUTNYA DI SINI.



Comments
Loading...