Kepimpinan UMNO peringkat bahagian wajib bersatu – Najib


ASPAN ALIAS

Najib telah mengingatkan pimpinan Bahagian-Bahagian supaya bersatu dan melaksanakan tugas parti secara bersatu bagi menghadapi pilihanraya yang mendebarkan yang akan tiba beberapa bulan sahaja lagi. Najib mengingatkan pemimpin-pemimpin bahagian-bahagian ini semasa majlis berbuka puasa dengan sahabat-sahabat semalam.

Apa yang dikatakan oleh Najib itu semuanya benar kerana tanpa perpaduan di kalangan pimpinan bahagian UMNO dan BN akan menghadapi jalan sukar untuk memenangi pilihanraya nanti. Itu adalah asas kekuatan sesuatu parti apabila menghadapi pilihanraya nanti. Perpecahan diperingkat akar umbi pasti akan membawa bencana kepada UMNO.

Perlu di akui yang hanya UMNO sahaja yang masih dan mungkin boleh bertahan sedikit sebanyak dalam pilihanraya nanti kerana parti-parti MCA, Gerakkan serta MIC hampir pasti akan lenyap ditelan arus kebangkitan rakyat menentang komponen BN ini. Tetapi UMNO juga tidak terlepas dari menghadapi persepsi yang buruk dari pandangan rakyat ramai kerana terpalit dengan isu-isu negatif yang membimbangkan rakyat.

Tetapi mujarabkah peringatan pemimpin-pemimpin di bahagian ini? Mampukah mereka (pemimpin-pemimpin bahagian) untuk berbuat demikian? Isu ini merupakan isu yang sangat mendapat perhatian saya kerana ini merupakan nadi kekuatan UMNO dan BN yang telah mati selama ini. Nadi UMNO sudah berkurangan denyutnya. Saya selalu menulis tentang isu ini kerana dari segi hakikatnya UMNO hanya tinggal pada namanya sahaja.

UMNO tidak lagi melakukan gerakan yang betul untuk menghadapi rakyat. Tiada lagi program-program kemasyarakatan dan tidak ada pimpinan bahagian yang mempunyai kemampuan untuk melakukan pembangunan mengikut kehendak perjuangan UMNO itu. Yang menjadi masalah besar ialah UMNO sudah tidak dipandang tinggi lagi oleh masyarakat. UMNO sudah mula tidak di hiraukan oleh rakyat dan rakyat bukannya sesuka hati untuk tidak menghiraukan parti ini. Ianya bersebab.

UMNO di peringkat bahagian sudah tidak ada kepimpinan. Yang ada hanyalah ketua-ketua yang tidak mempunyai kepimpinan. Bagaimana mereka hendak ada kepimpinan jika cara mereka menaiki kepimpinan bahagian itu adalah berdasarkan kepada siapa yang berbelanja lebih? Apa bila semuanya dibeli termasuk kepimpinan bagaimana hendak mendapatkan kepimpinan yang berkualiti.

Kalau kita hendak makan makanan yang berkualiti, elok kita masak di rumah. Kalau makanan serta lauk pauk yang dibeli dari kedai orang berniaga masakan kita dapat masakan yang berkualiti? Benda yang di beli tidak mempunyai kualiti yang baik. UMNO sudah kehabisan dan kehilangan kepimpinan secara total. Yang ada pada UMNO hanya kuasa sebagai parti yang memerintah.

Sebenarnya UMNO sendiri telah mengakui yang partinya hanya boleh bertahan di desa-desa yang mana pengundi tidak mempunyai access kepada berita yang sebenarnya. UMNO Selangor dua hari yang lepas telah mengakui yang harapan mereka untuk memenangi kawasan-kawasan kampong dan desa adalah cerah kerana pengundi-pengundi di kawasan ini tidak mempunyai access kepada berita yang lain dari sumber dari Utusan Melayu. Mereka hanya membaca Utusan Melayu kata Ketua Penerangan UMNO Selangor.

Kata-kata ini hanya membuktikan yang mereka yang tidak mempunyai pelajaran sahaja yang akan mengundi BN. Bagaimana seorang yang bertanggunjawab kepada sebaran maklumat UMNO mengatakan orang kampong tidak maju serta memandang rendah kepada orang kampong? Itulah sebabnya saya selalu katakan yang setiap perkara yang di ucapkan oleh pemimpin UMNO akan menjauhkan hati rakyat dari parti itu. Kefahaman terhadap isu tidak ada langsung dan inilah yang membuatkan UMNO itu secara deras telah menjadi parti yang lesu. Dengan kata-kata seperti itu membuktikan yang UMNO tidak berkeyakinan untuk memenangi kawasan-kawasan bandar dan separuh bandar.

Nasihat Najib itu walaupun betul dan benar, tetapi beliau tidak pula menyatakan bagaimana untuk berpadu kerana penyakit berlumba-lumba untuk menjadi calun sedang hebat berlaku. Wakil-wakil rakyat yang menyandang sekarang pula tidak putus-putus berusaha untuk menyambung nyawa politik mereka untuk kekal sepenggal lagi.

Oleh kerana mereka tidak mempunyai semangat perjuangan mereka akan melakukan sabotaj terhadap parti sendiri jika tidak terpilih menjadi calon. Tetapi tidak juga boleh kita persalahkan mereka kerana UMNO yang ada pada hari ini pun terbentuk atas asas perpecahan ahli-ahlinya selepas pengharaman UMNO yang diilhamkan oleh pucuk pimpinan parti itu sendiri 23 tahun yang lepas.

Benih-benih kepimpinan di setiap peringkat adalah dari mereka yang tidak mempunyai kepimpinan kerana semua yang berkepimpinan tidak diambil menjadi pemimpin pro tem kepada UMNO yang baru di wujudkan semasa itu.

UMNO yang baru itu hanya mengambil pemimpin-pemimpin yang tidak ada kepimpinan untuk menjadi penaja bagi mempastikan mereka yang hanya taat kepada pemimpin negeri dan pusat sahaja yang di terima. Dari saat inilah kepimpinan UMNO mula rendah kerana benih kepimpinan yang tidak baik yang dilantik untuk memimpin UMNO yang baru itu.

Hampir separuh dari yang berkepimpinan di seluruh negara diketepikan dari penaja UMNO itu walaupun mereka merupakan menyandang berbagai-bagai jawatan yang dipilh secara demokratik sebelum UMNO yang asal itu dimatikan. 

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...