MALAPETAKA – SURAT KEPADA BANI MELAYU


DARI JELEBU

Tidakkah kamu sedar hutan balak dan bukit bukau yang telah kamu ratakan adalah kampong and halamana aku. Tidak kah kamu memiliki perasaan apabila kamu menjarah dan merampok balak dihutan kamu telah merosakkan alam yang berbilion tahun tersusun rapi dalam satu rantaian kehidupan yang bagitu harmoni.

Hishamuddin Rais 

Dua puluh penduduk di Kampung Seberang Star, dekat Gua Musang kerugian teruk apabila kebun getah dan pisang seluas 2.4 hektar musnah diserang sekumpulan 12 ekor gajah liar sejak dua minggu lepas.

Malah, mereka juga tinggal dalam ketakutan kerana gajah liar terbabit pernah berkeliaran di kawasan kediaman setiap malam hingga memaksa penduduk berkumpul di luar rumah untuk menghalaunya –BERNAMA

Wahai Bani Melayu,

Adalah aku ini dari Bani Gajah menulis surat ini kepada kamu Bani Melayu dengan niat yang jujur lagi ikhlas. Surat ini tidaklah aku tulis hanya mewakili Bani Gajah sahaja. Adalah diberitahu kepada kamu wahai Bani Melayu bahawa aku menulis ini untuk menyampaikan rasa hati seluruh Bani Hutan.

Kancil dan napoh telah bersuara. Harimau dan rusa telah berkata-kata. Enggang di pucuk nan tinggi dan kubong di batang kepala semuanya ingin menyatakan rasa tidak puasa hati mereka. Hendaklah kamu sedari wahai Bani Melayu, yang hidup dalam hutan belantara bukan hanya orang hutan sahaja. Musang dan buaya, lotong dan kera – kami telah sebulat suara untuk memberi ingatan tentang Malapetaka.

Sebelum senapang itu melepaskan tembakan. Sebelum das besi panas itu singgah ke atas tengkok aku. Sebelum aku mati di racun. Sebelum kaki aku kau rantai dengan jerat. Sebelum Bani Gajah pupus dari bumi ini, biar aku surahkan rasa hati kami.

Sedarlah kamu wahai Bani Melayu bahawa bumi ini bukan hak milik kamu sahaja. Sedarlah kamu wahai Bani Melayu bahawa bumi ini milik semua. Sesiapa yang yang bernafas , sesiapa yang berbunyi dan bersuara adalah tanda pemilik hak yang sama. Dari unggas, mawas, cikah dan kura-kura – semua meminjam bumi ini untuk hidup sementara.

Adalah telah kami perhatikan semenjak Tuan Orang Puteh lari meninggalkan bumi ini pada 31 Ogos 1957 dahulu, kamu Bani Melayu telah membawa Malapetaka yang maha sangat. Kamu telah menjadi penganas. Kamu telah merosakkan bumi ini seolah-olah bumi ini adalah milik kamu sahaja.

Wahai Bani Melayu, apakah kamu tidak sedar atau sengaja tidak mahu sedar bahawa bumi ini untuk kita semua kongsi melintas. Apakah susah sangat untuk kamu menerima hakikat bahawa bumi ini hanya pinjaman. Kemanakah perginya akal dan fikrah kamu sehingga kamu terus membawa Malapetaka ini.

Biar aku surahkan disini bahawa kami yang tinggal di dalam hutan telah lama merasakan Malapetaka ini. Saban hari tanda tanda Malapetka semakin meluas dan semakin jelas. Lalu aku dalam surat ini ingin menyedarkan agar kamu tidak hanyut terkapai-kapai akibat Malapetaka yang akan sampai.

Tidak kah kamu tahu bahawa sebelum kamu berada di bumi ini kamilah Bani yang terawal berkelana di bumi ini. Berbilion tahun sebelum kamu sampai ke sini aku dan Bani Hutan telah berkeliaran bebas di sini. Kami berkelana tanpa ganguan. Kami berkelana tanpa sekatan. Kami berkelana bebas.

Wahai Bani Melayu,

Biar aku catatkan disini satu persatu keganasan yang telah kamu lakukan. Hendaknya apabila telah aku tuliskan ini maka terbukalah hati kamu yang selama ini telah menjadi bagitu kotor dan busuk.

Kamu telah dan sedang menjarah hutan belantara ini tanpa perancangan tanpa peraturan. Tidak kah kamu rujuk apa yang telah ditulis dalam penjanjian kami dengan Orang Puteh dahulu. Perjanjian Hutan Belantara yang tertulis dalam Perlembagaan itu tidak kamu ambil peduli. Tidak pula kamu beri tahu kepada anak cucu cicit kamu tentang adanya tertulis Satu Perjanjian. Telah ditulis: bahawa setiap batang balak yang kamu tebang maka kamu juga diwajibkan menanam anak balak itu kembali. Tidak kamu ajar dan didik cucu cicit kamu tentang perjanjian ini. Kamu pura pura tak tahu dan tidak merujuk kepada apa apa buku.

Kamu bagitu angkuh dengan kuasa dan kudrat kamu. Lalu kamu tolak runtuh bukit dan gunung ganang. Lalu kamu landaikan bumi ini agar kereta yang kamu naiki dapat meluncur laju. Satu demi satu kerabat pokok hilang dari muka bumi. Satu demi satu kerabat ulat dan kerabat unggas hilang untuk selama-lamanya. Satu demi satu Bani Rumput dan Bani Lalang hilang.

Kamu dengan angkuh telah mentafsirkan Bani Hutan sebagai benda untuk buruan. Lalu kami diburu dan dihalau. Lalu kami di jerat dan di tembak. Lalu kami ditangkap dan diracun. Kami dimasukkan ke dalam kurungan. Kami pun dijadikan barang peniagaan. Kamu menjual tiket untuk menayangkan kami kepada anak cucu cicit kamu. Kau menjadikan Bani Hutan barang pemainan untuk menghibur hati hati kamu yang masam kulam.

Tidakkah kamu sedar hutan balak dan bukit bukau yang telah kamu ratakan adalah kampong and halamana aku. Tidak kah kamu memiliki perasaan apabila kamu menjarah dan merampok balak dihutan kamu telah merosakkan alam yang berbilion tahun tersusun rapi dalam satu rantaian kehidupan yang bagitu harmoni.

Tidak kan kamu sedar bahawa alam ini diikat dengan hukum dan hakam. Alam ini sujud kepada hukum Yang Maha Esa. Alam semesta kita ini bergerak diatas syarat dan aturan yang tertulis semanjak kun fiyakun.

Wahai Bani Melayu, biar aku surahkan disini agar dapat kamu memahami tentang rantai kehidupan yang aku katakan ini. Biar aku contohkan disini akan hukum alam yang menjadi bumi ini dengan nyata.

Ketika musim durian sampai maka kami Bani Gajah pun akan berkenduri berkendara. Setiap durian yang kami telan adalah tanda kesyukuran kami kepada hutan. Lalu kami merayau jauh berbatu batu. Di lereng lereng bukit kami berakan biji biji durian yang kemudiannya menetas, membesar dan berbuah kembali. Tanpa Bani Gajah, kamu Bani Melayu tidak akan kenal durian dan tempoyak.

Read more at: http://tukartiub.blogspot.com/2011/08/satu-lagi-malapetaka.html



Comments
Loading...