50 orang Islam dipercayai menyertai majlis DUMC


Menurut presiden IKDDAS Rosdi Long, dianggarkan kira-kira 50 orang Islam dikesan mengikuti program itu namun mereka berjaya melarikan diri.

(Free Malaysia Today) – Belumpun reda kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan isu murtad didakwa dilakukan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), di Petaling Jaya minggu lalu, kini timbul pula dakwaan penyertaan orang Islam di majlis ‘Thanksgiving’ itu adalah melebihi angka tangkapan yang dibuat pihak berkuasa terbabit.

Menurut Presiden Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS), Rosdi Long dianggarkan kira-kira 50 orang Islam dikesan mengikuti program itu namun mereka berjaya melarikan diri.

Beliau mendakwa pihak penganjur membantu orang Islam terbabit daripada diperiksa pihak berkuasa dengan memboloskan diri menggunakan pintu belakang gereja tersebut.

Namun pihak Jais berjaya menahan 12 orang Islam yang kini masih ditunggu memberi keterangan berhubung kejadian malam itu.

“Mereka yang hadir dalam majlis itu dianggarkan 50 orang Islam. Yang berjaya ditangkap ialah 12 orang. Perkara itu dipercayai berlaku ketika proses perbincangan antara pihak Jais dan penganjur kira-kira sejam. Mereka kemudian dilarikan oleh penganjur dipercayai menggunakan pintu belakang gereja terbabit.

“Kesemua mereka dipercayai berumur sekitar 30-an dan mereka datang secara berkeluarga. Ada yang membawa anak kecil dan adik-beradik.

“Pihak operasi Jais mendapat kepastian apabila salah seorang peserta yang beragama Islam keluar ke tandas dan apabila diperiksa kad pengenalannya individu terbabit beliau beragama Islam.

“Sedangkan pada awal perbincangan,pihak penganjur mengesahkan tiada orang Islam yang terlibat,” katanya kepada FMT.

Peserta Islam

Perkara itu turut disahkan oleh satu sumber pihak berkuasa yang mengatakan wujud lebih ramai peserta beragama Islam yang menyertai program makan malam itu, walaupun tangkapan dibuat sedikit.

“Ya memang lebih ramai orang Islam yang hadir majlis pada malam itu walaupun tangkapan dibuat adalah 12 orang,” kata sumber.

Menurut Rosdi selain daripada sikap penganjur yang menyembunyikan maklumat kehadiran orang Islam itu, elemen lain yang diragui termasuklah nyanyian ‘Allahuakbar’ , ‘Alhamdulillah’,majlis tertutup sedangkan ia majlis berbentuk kesyukuran.

Malah ujar beliau  tempat tersebut merupakan kawasan persendirian dan Jais berhak membuat pemeriksaan.

“Selain daripada elemen tersebut, wujud penampilan urus setia yang hanya dikenali sebagai Sofea, perwatakan dan mukanya seperti Cina tetapi bila dilihat kad pengenalannya beliau adalah Islam. Tetapi wanita itu mengaku bahawa tidak mengamalkan tatacara hidup dan amalan Islam. Wanita itu turut mengakui bahawa menerima undangan untuk hadir ke majlis itu.

“Itu salah satu penghinaan,sedangkan pada awalnya penganjur menafikan penglibatan orang Islam. Di sini yang kita ragu bahawa wujudnya proses untuk murtad.

“Bagi menghormati majlis, pihak Jais menunggu program selesai memandangkan ada penglibatan tetamu kehormat atau VIP. Maka tidak wujud serbuan atau kekasaran yang ditimbulkan oleh penganjur sedangkan Jais dari awal lagi bertindak dengan penuh tertib,” jelasnya.

Rosdi juga turut melahirkan rasa kesal ekoran kejadian itu berlaku ketika bulan Ramadhan, malah sensitiviti itu tidak dijaga dengan sebaik mungkin.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...