11-11-11


Malangnya, ada pihak yang melihat perbezaan dan percanggahan tersebut sebagai topang kuasa dan kepentingan mereka. Segala usaha untuk merentasi jurang tersebut dilihat sebagai hakisan kepentingan mereka dan akan cuba dilumpuhkan.

By Ng Ooi Cheng

Bagi sesetangah orang, nombor-nombor di atas mungkin dianggap ajaib dan boleh membawa tuah. Namun, bagi Lai Run-jiao yang berusia 81 tahun, bayangan 11 boleh menjadi sesuatu yang ngeri.

Mengikut laporan temu ramah sebuah akhbar bahasa Cina baru-baru ini, wanita tua yang berasal dari Sungai Titi itu mempunyai pengalaman yang cukup pahit dan menakutkan ketika berusia 11 tahun. Pada tahun itu, 11 orang ahli keluarga termasuk 4 orang adiknya dibunuh askar Jepun di depan matanya, dan dia sendiri pula ditetak dan ditikam 11 kali sebelum rumahnya dibakar.

Nenek Lai bernasib baik kerana diselamatkan, “Seorang lelaki meluru ke dalam dan mendukung saya keluar dari rumah. Makcik saya tak henti-henti merayu kepada saya untuk membawanya keluar, tapi saya cedera parah dan tidak dapat bergerak langsung…”
 
Lai juga tunjukkan kesan luka tikaman askar Jepun di belakang badannya kepada wartawan. Katanya, babak askar Jepun menangkap dan membunuh orang sering muncul dalam mimpinya setelah bertahun-tahun.
Sememangnya, pengalaman seperti Nenek Lai senantiasa diingati anak-anak Malaysia, terutamanya di kalangan ramai orang Cina, sehingga ada yang mempunyai tanggapan negatif terhadap orang Jepun, walaupun kekejaman yang dilakukan di Malaya pada waktu itu hanya mencerminkan sikap dan niat golongan imperialis dan bukan seluruh rakyat Jepun.
 
Tanggapan sebegitu berbeza daripada banyak orang Melayu yang melihat Jepun sebagai ilham untuk menentang penjajah British bagi mencapai kemerdekaan. Tambahan pula, penjajah Jepun telah menyerapkan segolongan orang Melayu ke dalam pentadbiran tempatan dan meneruskan malah mempergiatkan taktik ‘pecah dan perintah’ yang digunakan penjajah British sebelum itu.
 
Sungguhpun terdapat juga banyak orang Melayu yang menjadi mangsa kekejaman askar Jepun, kisah pahit itu kurang diperdengarkan.
 
Hasil daripada penjajahan, masyarakat kita menjadi kompleks. Pengalaman yang berbeza (ada kalanya serupa tetapi tidak dipertembungkan) menzahirkan tafsiran yang berlainan terhadap fakta sejarah, malah fikiran yang berselisih tentang apa yang sedang berlaku. Kadang-kadang jurang tafsiran dan fikiran ini dibesarkan lagi oleh adat, agama serta budaya yang berlainan.
 
Walau bagaimanapun, perbezaan atau percanggahan itu barangkali mampu direntasi dan ditangani apabila pelbagai pihak menunjukkan keikhlasan, saling menghormati dan menghayati dalam mencari penyelesaian atau muafakat.
 
Malangnya, ada pihak yang melihat perbezaan dan percanggahan tersebut sebagai topang kuasa dan kepentingan mereka. Segala usaha untuk merentasi jurang tersebut dilihat sebagai hakisan kepentingan mereka dan akan cuba dilumpuhkan. Mereka kerap kali bertopengkan wira agama dan bangsa dengan menggunakan ejen untuk mengadu-dombakan sesuatu, menjadi batu api, meluahkan kata-kata ekstrem seperti sanggup berdarah atau membakar, padahal mereka mempunyai agenda sendiri, yang diperlagakan itu rakyat jelata.
 
Oleh itu, penting untuk kita tenang dan mempunyai minda yang siuman, membuat penilaian secara bijak. Bakar gereja dan simbah cat pada surau bukan gelagat perjuangan yang sahih, tetapi perbuatan manusia yang tidak bertamadun.
 
Menjelang Hari Kemerdekaan dan Hari Negara yang mulia, saya mendoakan kesejahteraan negara, bersama-sama kita membentuk masyarakat kita menjadi indah dan bahagia.
 
Semoga pada hari 11-11-11 ataupun suatu tarikh sebelum atau selepasnya, rakyat menjadi penentu bagi memberikan masa depan yang cerah kepada negara kita.
 


Comments
Loading...