KENYATAAN MEDIA SUA: Rundingan Kerusi PRU 13 PR negeri Johor


Akhir-akhir ini, beberapa kenyataan-kenyataan dan pandangan-pandangan telah dikeluarkan melalui media oleh pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Johor, termasuklah dari Parti KEADILAN Rakyat sendiri berhubung hal rundingan kerusi pilihanraya umum ke-13 di antara parti-parti sekutu Pakatan Rakyat Negeri Johor. Kenyataan dan pandangan yang diutarakan walaubagaimanapun, telah mengundang spekulasi dan persepsi yang pelbagai.

Saya ingin menyebut bahawa Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah pun membuat suatu ketetapan dan mengeluarkan arahan kepada kesemua pimpinan-pimpinan parti masing-masing supaya hal ehwal rundingan kerusi tidak dibincang mahupun dihebah secara terbuka.

Proses rundingan kerusi di antara parti-parti sekutu Pakatan Rakyat merupakan suatu proses yang berterusan yang menjadi tanggungjawab bersama pimpinan KEADILAN, PAS dan DAP bagi mencapai satu matlamat yang khusus – iaitu bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-13 ini, yang kian terserlah kegagalan mereka untuk membela nasib rakyat serta cara dan keputusan pentadbiran mereka yang kini terus dipersoalkan ketelusannya. Tentunya dalam mana-mana proses perundingan, akan ada wujudnya keadaan yang menduga kesefahaman semua pihak yang berunding.

Saya dengan ini menasihatkan kesemua ahli-ahli pimpinan KEADILAN, PAS dan DAP Johor, dan juga di lain-lain negeri untuk mematuhi ketetapan dan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat serta menghormati dan menerima konsep kerjasama Pakatan Rakyat yang menekankan rasa hormat-menghormati sesama kita dalam ertikata yang sebenarnya. Saya juga menggesa kesemua ahli-ahli pimpinan KEADILAN, PAS dan DAP untuk terus memberi tumpuan terhadap keperluan dan persediaan kerja jentera pilihanraya masing-masing bagi terus menyerlahkan peluang Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Bagi pihak Parti KEADILAN Rakyat, saya ingin menyatakan keyakinan dan sokongan Parti kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng dalam meneruskan rundingan bagi mencapai persetujuan hakiki dalam urusan rundingan kerusi ini.

 

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

Setiausaha Agung

Parti KEADILAN Rakyat

 



Comments
Loading...