Adakah KITA sedang mendekati Umno?


HELEN ANG

Baru-baru ini timbul desas-desus yang Zaid Ibrahim akan membawa partinya KITA masuk ke pangkuan Barisan Nasional tidak lama lagi. Telahan bahawa Zaid akan merujuk dengan Umno diuar-uarkan ekoran ‘mohon maaf’nya kepada Perdana Menteri Najib Razak minggu lepas.

Zaid dipetik Bernama sebagai berkata:

“Saya dahulu tidak yakin Najib mempunyai keberanian untuk membuat sesuatu yang besar dan hari ini saya minta maaf pada Perdana Menteri kerana akhirnya sanggup berbuat sesuatu yang bermakna dan besar untuk memansuhkan ISA ini.”

Kenyataan tersebut membuat Zaid diragui sesetengah orang sebagai membodek Najib.

Namun mungkin Zaid dengan hati tulus merasakan langkah perdana menteri hendak menghapuskan ISA dalam masa terdekat adalah berani dan benar. Maka pohon maafnya adalah bersifat ‘gentleman’ kerana ramalannya yang meleset pada suatu ketika dulu.

Mungkin juga pada pandangan Zaid, reaksi pemimpin pembangkang yang begitu lantas memperlekehkan keputusan Najib yang mengejut itu adalah tidak wajar kerana bertindak dengan penuh syak wasangka walhal belum ada kepastian. Ataupun dalam bahasa Inggeris — not giving Najib the benefit of the doubt.

Zaid juga seorang yang mahu “give credit where credit is due”, bermaksud jika sesuatu tindakan itu betul, takkanlah kita menidaknya hanya kerana takut dicop sebagai juak Umno?

(Bagi saya, pihak pembangkang pada tempoh hari menampakkan betapa kecilnya jiwa mereka. Pakatan jelas menggelabah sebab usul pemansuhan ISA pasti akan mematah momentum ‘Vote ABU’/ Anything But Umno yang giat dipupuk di kalangan pemilih bandar.)

Jeneral keseorangan

Zaid kena tempias lagi justeru mengumumkan KITA akan mengadakan ‘Democracy roadshowselama sebulan (Sept 27-Okt 26) ke seluruh pelusok negara — difahamkan roadshow tersebut untuk menerangkan dasar-dasar transformasi yang diperkenalkan Najib.

Mungkin Zaid menyokong Najib kerana perdana menteri kelihatan agak keseorangan. Timbalannya Muhyiddin Yassin serta Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein kedua-duanya pun seolah-olah caught off guard, iaitu sendiri terperanjat dengan pengumuman tiba-tiba itu.

Peristiwa ini mengingatkan saya kepada seperkara yang pernah disebut Khairy Jamaluddin sewaktu beliau berceramah di satu jamuan (dinner talk) anjuran kelab sukarelawan Haris ‘SABM’ Ibrahim pada bulan Disember lepas. [SABM itu Saya Anak Bangsa Malaysia]

Khairy telah memberitahu hadirin bahawa Najib kurang mendapat sokongan daripada orang kuat Umno serta jemaah menterinya sendiri untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif ‘transformasi’ yang cuba dikemukakannya. Peranan Najib sebagai ‘great reformer’ ibarat seorang jeneral yang tidak diiringi leftenan mahupun askar.

Berkenaan ISA, bukankah Pakatan seharusnya bersorak-sorai kerana pelupusan undang-undang itu yang sekian lama dituntut mereka akhirnya dipersetujui Najib jua. Akan tetapi Pakatan tidak menghargai benda besar ini sebaliknya meragam.

Janji nak mansuh ISA pun Najib disergah pembangkang. Beliau tidak mengaut apa-apa keuntungan (bukannya dia boleh melebihkan undi sebab para penyokong Pakatan tidak akan beralih) manakala puak Malay ultra seperti Perkasa pula menggertak (rugi undi Umno).

Mungkin kerana kesemua faktor-faktor di atas, maka perlunya Zaid memberikan sokongan setakat mana yang boleh kepada usaha menjayakan penghapusan ISA. Kalau bukan Zaid siapa lagi?

‘Track record’ menentang ISA

Pada hakikatnya, Zaid memang ada locus standi (mempunyai hak serta kena pada tempatnya) untuk menyumbangkan input beliau sebab dialah yang mempelopori kajian terperinci reformasi perundangan.

Zaid yang memantau undang-undang penahanan pencegahan selaku Menteri Undang-Undang (lebih tepat, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri dengan memegang portfolio undang-undang) dalam kabinet Abdullah Ahmad Badawi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...