PAS: ‘Yang halang laksana hudud Umno, bukan DAP’


(The Malaysian Insider) – Susulan mesyuarat Pakatan Rakyat kelmarin, PAS menegaskan yang menghalang pelaksanaan hukum hudud adalah Umno bukannya DAP — rakan komponen dalam perikatan mereka berusia tiga tahun.

Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal pelaksanaan hudud dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak.

“Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“DAP berpendapat ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah Syariah.

“Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguatkuasakannya,” katanya.

Oleh itu kata Tuan Ibrahim, jelas yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun dan bukannya DAP.

“DAP tidak menyokong kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan,” kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim menambah, PAS memperakui perlunya bidang kuasa mahkamah syariah diangkat bagi menepati tuntutan syarak dalam pelaksanaan sistem perundangan ini.

“Namun, ruang dan bidang kuasa kerajaan negeri yang telah meluluskan enakmen ini juga perlu diperakui dan diiktiraf. Situasi ini amat berbeza dengan Umno yang beragama Islam dan mempunyai kewajipan syarak dalam melaksanakannya,” katanya lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga berkata, Umno yang mengaku dirinya Islam dan telah diberi kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.

“Ini bukan. Umno masih mengatakan negara masih belum mampu melaksanakannya. Ini jelas mencerminkan kegagalan Umno dalam memastikan pelaksanaan syariat Allah di negara ini,” tambah beliau.

Kelmarin, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas hukum hudud yang muncul kembali sebagai isu ‘panas’ minggu lalu tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa hukum hudud bukan sebahagian daripada dasar Pakatan Rakyat dan bantahan DAP perlu dihormati.

“Ya, ya. Sangat jelas ia perlu bersama,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menjawab soalan sama ada pelaksanaan hukum hudud memerlukan persetujuan sebulat suara kesemua tiga parti dalam perikatan itu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Anwar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata mesyuarat Pakatan Rakyat malam tadi memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.

Justeru kata Tuan Ibrahim, keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat kelmarin ternyata jauh lebih baik daripada pendirian Umno yang terus menolak hukum hudud sebagaimana kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Minggu lalu Najib menegaskan hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno tidak menolak hudud tetapi kini bukan masanya untuk melaksanakan pendekatan itu.

“Sebagai ‘damage control’ ekoran kenyataan presiden mereka, ramai pemimpin Umno bergesa-gesa berkata mereka secara dasarnya menyokong hudud tapi menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum Allah ini.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...