Najib tidak bawa perubahan dalam ekonomi


By Fazy Sahir, FMT

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad mengkritik tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menguruskan pertumbuhan ekonomi negara sambil menyifatkan pemimpin nombor satu negara itu hanya mengulangi perkara sama tanpa melakukan sebarang penambahbaikan.

Zulkefly berkata Malaysia pernah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai negara terkaya secara perkapita sebaris dengan negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan.

“Malaysia kini terperangkap dalam keadaan ekonomi yang statik dalam tempoh 10 tahun ini dan mengalami inflasi yang tinggi sehingga 26 peratus,” kata beliau pada Forum Bajet Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 di sini malam tadi.

Menurut beliau, kegagalan kerajaan adalah untuk mengurangkan aliran keluar wang sedangkan Najib tidak pernah menjelaskan bagaimana untuk meningkatkan pendapatan ekonomi negara.

“Kerajaan masih melakukan perkara sama dalam dekad ini, diulang semula konsep penswastaan, kerja yang sama dan harap natijah berbeza. Itu tindakan yang kurang bijak. Beliau tidak pernah jelaskan kepada kami bagaimana nak tingkatkan pendapatan ekonomi.

“Tapi mereka mahu bangunkan MRT yang menelan belanja RM36 bilion, KL Transit RM2.6 bilion…..lihatlah semua ini,” tegas beliau.

Bagi Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong, belanjawan Pakatan kali ini merangka dasar yang menyentuh aspek pengangkutan, kesihatan, perumahan dan keselamatan serta dijaga dengan baik bertujuan mengubah struktur gaji dan ekonomi rakyat dengan secara berkesan.

Permintaan domestik

“Semua orang bercakap tentang permintaan domestik dan mahu menghasilkannya bila sudah kekurangan pendapatan sedangkan kerajaan patut berusaha merangka dasar supaya pengangkutan, kesihatan, perumahan dan keselamatan dijaga.

“Ini penting kerana ia aspek terbesar dalam gaji. Gaji kita membiayai kos pengangkutan dan perumahan maka dasar ini akan membantu ke arah pendapatan boleh guna.

“Najib kata nak guna MRT untuk jana permintaan domestik sedangkan itu tidak bagus sedangkan  monopoli itu yang kita bangkang kerana monopoli akan menghakis pendapatan boleh guna rakyat dan mengakibatkan kos perniagaan yang tinggi,” jelas beliau.

Menurut Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pula, walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) mengatakan bajet Pakatan ini mustahil dapat dilaksanakan tetapi beliau tetap optimis mengenainya.

Rafizi memberi contoh mengenai air percuma dan program Tawas yang dilakukan kerajaan negeri Selangor yang dianggap mustahil oleh BN tetapi dapat dilaksanakan dengan baik.

Baca seterusnya di sini.



Comments
Loading...