Media: Ketua Hakim Syarie dakwa Kelantan tak pernah serius laksana hudud


(TMI) Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Mohamad menegur kerajaan PAS Kelantan kerana tidak pernah serius memberi penerangan kepada masyarakat mengenai hukum hudud sekalipun sudah meluluskan peruntukannya hampir 20 tahun lalu.

Daud berkata, kempen dan pendidikan berterusan kepada rakyat mengenai hudud sepatutnya dilakukan tanpa henti sejak Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan diluluskan pada tahun 1993 lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya hanya lantang bercakap mengenainya pada waktu-waktu tertentu sahaja kerana ia boleh menimbulkan keraguan niat sebenar kerajaan dalam melaksanakan hudud.

“Kerajaan mungkin mengambil masa pada peringkat awal. Namun supaya benda ini tidak berlaku pertikaian atau pertentangan, eloklah beri penerangan dan penjelasan, tapi ini pun satu hal kerana dari 1993 sampai sekarang kita tidak dakwah betul-betul pun pasal hudud ini, tidak ada.

“Padahal kita boleh dakwah dengan pelbagai cara, dengan risalah dan macam-macam. Pegawai dakwah kita ramai, ia sepatutnya berterusan, jangan hanya tunggu masa-masa tertentu sahaja, orang akan pandang lain pula,” kata beliau pada Wacana Pelaksanaan Hudud di Dewan Teratai, Kota Baru semalam.

Wacana khusus kepada pegawai kerajaan negeri dan persekutuan itu turut dihadiri pakar perlembagaan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan Ahli Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Mohamed Daud sebagai ahli panel.

Daud yang merupakan salah seorang yang terbabit dalam merangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan juga berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak takut untuk melaksanakan hukum hudud sekalipun mendapat tentangan dan ugutan daripada banyak pihak.

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/media-ketua-hakim-syarie-dakwa-kelantan-tak-pernah-serius-laksana-hudud/



Comments
Loading...