Gerakan ‘Massa’ tuntut penambahbaikan pilihan raya


Jika PM gagal, protes secara besar-besaran bagi menuntut proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil akan diadakan.

(Free Malaysia Today) – Gerakan yang dikenali sebagai ‘Massa’ memberi amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar melakukan proses penambahbaikan pilihan raya sebelum pilihan raya umum diadakan.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata jika gesaan sedemikian gagal dipenuhi, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mengadakan protes besar-besaran bagi menuntut proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil.

“Kami bersama teman-teman organisasi massa yang lain hari ini mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya memberi amaran kepada PM bahawa PRU hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihan raya dilakukan,” kata beliau dalam satu sidang media hari ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai CheguBard berkata beliau merujuk kepada janji Najib selepas Himpunan Bersih 2.0 September lalu di mana beliau mengumumkan pembentukan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk mengkaji perkara ini.

Bagaimanapun, CheguBard melahirkan kebimbangan dengan beberapa ’maklumat’ yang diterima bahawa Najib bakal membubarkan parlimen pada 11 September ini sebelum sebarang penambahbaikan diimplementasikan.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) Haris Ibrahim menyatakan jika ini bukan kesnya, Najib sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional harus menyatakan pendirian beliau dan berterus-terang dengan rakyat.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...