MB dedah penyelewengan pemimpin BN S’gor


Beliau menamakan tiga pemimpin sebagai contoh – Satim Diman, Dr Mohamad Khir Toyo dan isteri Noh Omar – terlibat dengan pelbagai bentuk salah guna kuasa.

(Free Malaysia Today) – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan mengenai pelbagai salah guna kuasa oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) yang didakwa membabitkan kehilangan jutaan ringgit.

Ketika sesi penggulungan Belanjawan 2012 di Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini semalam, beliau berkata Ketua Pembangkang, Datuk Mohammad Satim Diman telah membuat beberapa transaksi berhubung penjualan tanah di Science Park 2 semasa Selangor ditadbir BN.

Selain itu terdapat usaha pengambilan tanah oleh bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo; isteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar serta pemimpin politik setempat bagi mendapat beberapa lot tanah di kawasan elit.

“Saya mengingatkan Ketua Pembangkang tentang transaksi jualan tanah di Science Park 2 di mana tanah kerajaan negeri telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPNS) dan dijual dengan harga murah kepada Nikmat Inai Sdn

Bhd di mana Satim adalah salah seorang pemegang saham dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

“Belum selesai syarikat Satim membuat bayaran belian kepada PKPNS, atas kuasa politik yang beliau pegang, tanah itu dijual kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan harga berlipat kali ganda.

Untung atas angin

“Inilah kejayaan Satim sebagai orang tengah untuk mengaut untung atas angin atas nama Bumiputera,” sindir Khalid.

Menyentuh mengenai tanah Revolusi Hijau di Alam Perdana, tanah itu telah dijual kepada Barisan Elit Sdn Bhd untuk taman perindustrian walaupun tanah masih berstatus pertanian.

Menurut Khalid, tanah itu merupakan milik kerajaan negeri yang diberikan kepada PKPNS untuk tujuan pembangunan pendidikan sains.

“Meskipun Barisan Elit belum dibenarkan mengusahakan projek perindustrian, namun yang berkuasa adalah orang berkepentingan maka projek tersebut dijalankan sedangkan rakyat Selangor kerugian puluhan juta ringgit dalam bentuk bayaran premium,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...