BN lebih bertanggungjawab berbanding Pakatan


Naib Presiden PBS membidas pimpinan Pakatan terutama ketuanya Anwar Ibrahim sebagai hanya suka menabur janji kosong kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

(Free Malaysia Today) – Sekutu utama Umno di Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata Barisan Nasional (BN) lebih bertanggungjawab berbanding Pakatan Rakyat dalam menangani isu-isu berhubung negeri Sabah dan Sarawak.

Naib Presiden PBS, Herbert Timbon Lagadan, membidas pimpinan Pakatan terutama ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai hanya suka menabur janji kosong kepada rakyat Sabah dan Sarawak, sebaliknya pimpinan BN telah terbukti mengambil langkah membantu rakyat miskin di negeri itu.

“Kalau ada parti pembangkang janji mahu tabur wang membantu rakyat bila ia memerintah, itu hanya cakap bohong saja. Tiada kerajaan yang baik yang akan buat begitu.

“Anwar pada tahun 1994 beri janji “Sabah Baru”, Sabah maju dalam 100 hari tapi bila Sabah tukar kerajaan, mana itu janji? Kini Anwar ada Buku Jingga janji Malaysia jadi negara maju, kamu fikirlah sendiri…” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian 26 rumah

PPRT kepada keluarga miskin di Kadamaian di sini kelmarin.

Lagadan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian seterusnya berkata kerajaan BN adalah yang terbaik kerana akan terus beri bantuan kepada rakyat jelata dengan cara berhemah, bukannya terus “tuang duit”  sekali gus, seperti digambarkan sesetengah pemimpin pembangkang yang suka memberi janji pembangunan secepat kilat.

“Kita tidak tuang duit… Tak mungkin kerajaan tebang pokok yang memberi kita buah, atau sembelih lembu yang beri susu kepada rakyat kita, kerana kalau kita buat begini, selepas itu tiada apa lagi yang akan kita dapat beri kepada rakyat,” kata Lagadan yang juga

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna Sabah.

Sejak kebelakangan ini, para pemimpin PBS, UPKO dan PBRS, tiga parti yang berasas kepada sokongan Kadazandusun di Sabah, dalam ceramah-ceramah mereka, sering mengulas mengenai janji-janji pemimpin Pakatan dan juga Buku Jingga.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...