Hudud mampu cegah murtad


Murtad boleh dicegah melalui pelaksanaan undang-undang Islam misalnya hudud dan salah satu jenayah hudud ialah murtad.

(Free Malaysia Today) – Gejala murtad yang melanda umat Islam di negara ini mampu dicegah dengan pelaksanaan hukum hudud, tegas Exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.

Tanpa merujuk kepada mana-mana negeri dalam Malaysia, beliau berkata, ini berpandukan kepada pengalaman negara-negara luar  yang berjaya menangani masalah (murtad) ini.

“Murtad boleh dicegah melalui pelaksanaan undang-undang Islam misalnya hudud dan salah satu jenayah hudud ialah murtad,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong-BN) pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Shamsudin bertanya mengenai apakah langkah dan tindakan yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) untuk mencegah orang Islam keluar dari agama Islam.

Unit Selamatkan Akidah

Hassan berkata Jais komited melaksanakan beberapa pelan tindakan mengatasi gejala murtad dengan menubuhkan Unit Selamatkan Akidah pada Ogos lalu.

Katanya, Jais bertindak menguatkuasa dua enakmen iaitu Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1998 terhadap mana-mana individu, persatuan atau pertubuhan yang mendakyah agama selain Islam kepada orang Islam.

“Jais juga menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah 1995 di bawah Seksyen 10 kesalahan menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina atau mana-mana kesalahan berkaitan,” terang beliau.

Isu murtad menjadi hangat ekoran tindakan Jais membuat pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, setelah mendapat maklumat tentang percubaan untuk memurtadkan orang Islam di satu majlis makan malam anjuran Komuniti Harapan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...