Najib: Ahli Umno kena terbuka terima calon boleh menang


(The Malaysian Insider) – Datuk Seri Najib Razak berkata calon boleh menang mestilah seseorang yang boleh diterima majoriti pengundi dalam masyarakat tempatan serta jentera parti.

Perdana Menteri berkata sekiranya jentera parti menolak, seseorang yang ada kebolehan atau mempunyai rekod kerja yang baik pun pada akhirnya tidak akan berjaya, seterusnya parti akan kalah dan kehilangan kuasa. 

“Kalau kita sebagai anggota parti tidak ada sikap yang terbuka dan kita tekankan orang tu (calon itu) mesti merupakan calon yang ikut hierarki (parti) tapi calon kita itu tak mungkin berjaya, calon kita akan gagal,” katanya kepada Bernama semasa wawancara khas menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011, hari ini. 

Dipetik Bernama Online, Presiden Umno itu menegaskan pentingnya semua pihak dalam parti memahami maksud calon boleh menang yang mahu ditonjolkan semasa pilihan raya. 

“Kalau tidak, sukar nak mencapai kejayaan. Kalau calon boleh menang  tu ditampilkan dalam kelompok dalam bahagian tanpa mengambil kira kehendak pengundi teramai, calon itu pun tak akan berjaya,” kata Najib. 

Beliau mengakui adalah sukar untuk memuaskan hati semua pihak, terutama di peringkat bahagian Umno. 

Tetapi menurutnya, “rumusan calon boleh menang itu adalah supaya setiap kerusi yang ditandingi mempunyai peluang terbaik untuk menang.” 

Bagaimanapun katanya, proses pemilihan calon belum muktamad dan penilaian akan dibuat bukan sahaja secara subjektif tetapi juga objektif. 

“Ini yang paling penting sekali, bukanlah orang yang kita sukai secara peribadi tetapi orang yang boleh diterima sebahagian besar pengundi dalam kawasan berkenaan. Itulah yang mesti kita lakukan,” katanya. 

Katanya soal menentukan calon ini adalah satu perkara yang sangat mencabar dan sukar dilakukan dan mustahil parti dapat memuaskan semua orang. 

“Mengikut pengalaman saya 35 tahun dalam politik, tak pernah berlaku dalam pilihan raya (calon yang dipilih memuaskan hati semua orang). 

“Tapi apapun yang dibuat parti, keputusan parti, pada kesudahannya kita kena terimalah, sebagai orang parti keputusan parti walaupun keputusan itu tidak mengikut selera atau kehendak kita,” katanya. 

Najib berkata, banyak juga peristiwa di mana beliau melihat orang yang setia kepada parti, walaupun keputusan parti tidak disenanginya tetapi menerimanya dan akhirnya calon akan menang. 

“Sebaliknya kalau dia terus menentang, dia nak kata apa nak jadi-jadilah, aku nak menentang. Jadi maknanya dia tak setia pada parti dan calon itu kalah dan maknanya parti akan kalah. Dia patut sedar bila parti kalah makna kita akan kehilangan kuasa,” katanya. 

Najib juga mengakui bahawa di peringkat bahagian pun, anggota parti tidak sependapat mengenai calon terbaik di kalangan mereka dan apa yang harus ada ialah disiplin parti.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...