Shamala hilang hak penjagaan anak


(Utusan Malaysia) – Seorang wanita Hindu, S. Shamala hilang hak penjagaan terhadap dua anak lelakinya hasil perkahwinan dengan bekas suami yang kini beragama Islam selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan hak penjagaan kepadanya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zainun Ali yang bersidang bersama Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Hakim Anantham Kasinather memutuskan demikian sebulat suara selepas membenarkan rayuan Dr. M. Jeyaganesh, 42.

Mualaf tersebut merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Julai 2004 yang memberikan hak penjagaan terhadap Saktiswaran, 10, dan Theiviswaran, 9, kepada ibu mereka. Shamala sebaliknya mengingkari perintah lawatan yang diperolehi lelaki itu dengan melarikan kedua-duanya ke luar negara.

Hakim Zainun ketika membacakan keputusan ringkas itu berkata, mereka terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Shamala, 38, yang menghadapi tindakan menghina mahkamah tiada hak mengemukakan litigasi.

Tindakan tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 6 Mei 2004 selepas dia melanggar perintah penjagaan sementara yang membenarkan Jeyaganesh atau nama Islamnya, Muhammad Ridzwan Mogarajah melawat anak-anak mereka.

Muhammad Ridzwan diwakili oleh Muralee Menon manakala Shamala yang kini dipercayai berada di Australia, tidak diwakili selepas peguamnya yang terdahulu menarik diri.

Dengan keputusan itu, semua konflik melibatkan Shamala dan bekas suami termasuk isu penukaran agama dua anak lelakinya dan permohonan wanita tersebut untuk mencabar persoalan undang-undang, selesai buat masa ini.

 



Comments
Loading...