Game changer, PRU 13 dan masa depan Umno
Peringatan bersedia menghadapi elemen yang mencetus perubahan dramatik permainan politik (game changer) yang diucapkan Najib mendedahkan kebimbangan parti pemerintah itu terhadap realiti semasa seperti bahasa baharu politik dan peranan media sosial yang semakin berpengaruh.
Siasah
Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak telah memberikan isyarat paling jelas untuk parti utama pemerintah pusat itu bersedia hadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
Ucapan Najib dalam perhimpunan agung Umno itu mengandungi banyak peringatan dan dorongan, yang berkait rapat dengan penerusan hidup Umno selepas menghadapi pilihan raya umum nanti.
Selepas Mac 2008, Umno menjadi parti yang paling banyak berada dalam keadaan defensif ekoran serangan agresif dan konsisten pakatan pembangkang, walaupun masih menjadi parti pemerintah.
Ideologi dan segala pegangan serta amalan Umno dikecam hebat sebagai perkara yang paling rosak dan buruk. Umno disinonimkan dengan korupsi, rasisme dan segala elemen jahat.
Menjelang 16 September, 2008, Umno kelihatan tergugat dan cemas berdepan ancaman pembangkang mengambil alih pemerintahan negara.
Ucapan dasar Najib sebagai presiden Umno menampakkan kesedaran terhadap ancaman-ancaman dihadapi Umno sejak 2008, yang berterusan hingga Umno kelihatan tidak sempat mencari ruang bernafas.
Peringatan bersedia menghadapi elemen yang mencetus perubahan dramatik permainan politik (game changer) yang diucapkan Najib mendedahkan kebimbangan parti pemerintah itu terhadap realiti semasa seperti bahasa baharu politik dan peranan media sosial yang semakin berpengaruh.
Setakat ini Umno nampaknya masih mampu menangani serangan media internet (walaupun dengan belanja yang besar) dan usaha Najib memulihkan imej dirinya dan parti kelihatan menampakkan hasil positif.
Walau bagaimanapun, pemulihan itu hanya satu aspek daripada banyak hal yang menyentuh pengundi, dan menjadi faktor diambil kira dalam memberikan undi.
Perubahan melibatkan penyebaran maklumat dan sentimen terhadap pemerintah sememangnya menjadi faktor yang mengubah permainan politik negara.
Pembangkang dan segala elemen penentang establishment di negara ini berjaya membawa dan menyebarkan bahasa baharu yang menjejaskan Umno dengan teruk, ketika Umno sebahagian besarnya masih bercakap dalam bahasa lama dan kurang sedar dengan realiti pasaran bebas ide.
Ucapan Najib menampakkan kesedaran itu, dan peringatan yang diberikan (yang bukan pertama kali ditujukan kepada “orang Umno”) menampakkan kesungguhan.
Tetapi kedudukan Umno yang lama di tampuk kuasa telah membina satu budaya dan pandangan yang menyumbang kepada berleluasanya sentimen negatif terhadap parti itu, dan memerlukan masa yang panjang untuk diuruskan.
Najib ada mengingatkan ahli supaya tidak bersikap sombong dan angkuh. Malangnya, wacana sebagai pihak yang mempunyai kuasa sejak merdeka menjadikan sifat itu sebagai sesuatu yang kuat dalam Umno.
Budaya berwacana, menangani pelbagai isu dengan rasional masih sukar diterima oleh Umno, terutama di peringkat bawah yang lebih banyak berdepan dengan rakyat biasa.