Pilih pemimpin GLC, GLIC berjiwa Umno


Cadangan ini dibuat supaya mereka dapat membantu orang Melayu meningkatkan pemilikan ekuiti dalam ekonomi.

(Bernama) – Wakil Perak hari ini mencadangkan peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dipilih daripada kalangan mereka yang berjiwa Umno supaya dapat membantu orang Melayu meningkatkan pemilikan ekuiti dalam ekonomi.

Datuk Idris Hashim berkata walaupun kerajaan semakin giat melancarkan pelbagai projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), kesannya terhadap ekonomi orang Melayu masih belum dilihat dengan jelas.

“Apa salahnya orang yang berjiwa Umno mengepalai GLC dan GLIC ini supaya agenda Bumiputera dapat dilaksanakan sepenuhnya. Ini sekaligus membantu program transformasi ekonomi supaya dapat mengalir ke bawah,” katanya ketika membentangkan usul Ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2011, di PWTC di sini hari ini.

Idris, yang merupakan Ketua Umno Teluk Intan, berkata syarikat-syarikat GLC dan GLIC perlu mengambil alih atau membeli ekuiti lebih banyak syarikat-syarikat rangkaian pembekal bagi membantu usahawan Melayu.

“Dulu, tiap kali kontraktor Melayu dapat RM1, 80 sen bukan kita punya. Pasal paku depa (mereka) punya, besi depa punya, pasir depa punya, semua depa punya. Kontraktor Melayu dapat dua kupang sahaja,” katanya.

Idris berkata dengan adanya rangkaian pembekal yang terdiri daripada orang Melayu, ini dapat memberi impak secara holistik kepada pembangunan sosio-ekonomi Melayu serta mempertingkatkan pemilikan ekuiti mereka dalam sektor korporat.

 



Comments
Loading...