Kalau pilihan kali ini salah lagi, salahkan diri sendiri


ASPAN ALIAS

UMNO mengakui yang pilihanraya kali ini merupakan ibu kepada semua pilihanraya. UMNO menganggap ia sebagai ibu kepada semua PRU kerana UMNO menganggap pertukaran pemerintahan dari mereka kepada pihak lain itu merupakan satu jenayah dan tidak boleh dan tidak patut berlaku.

Kepada negara-negara lain yang mengambil demokrasi sebagai cara politik mereka, pertukaran pemerintah itu adalah perkara biasa dan ia nya adalah hak rakyat ramai untuk menentukkan kepada siapa yang mereka hendak berikan mandat untuk mentadbir mereka. Di antara parti buruh dan conservative di Britain tidak tahu berapa kali pertukaran pemerintahan di antara kedua-dua parti itu dan sekarang pula adalah kerajaan campuran conservative dengan liberal democrat.

Di negara kita lain pula keadaannya. Pada UMNO rakyat mesti mendengar semua cakap dan arahan mereka. Hak rakyat hanyalah untuk pergi ke peti undi dan pangkah lambang dacing sahaja….tidak payah berfikir dan tidak payah membuat penilaian terhadap mereka. Rakyat hanya diarah untuk jadi burung balam sahaja…mengangguk walaupun tidak bersetuju.

Jika ada rakyat yang berbeza pendapat atau pun menyebelahi parti-parti lain rakyat ini akan dikatakan pengkhianat, pembelot, anti Melayu, anti Islam, DAP mengkristiankan orang Melayu, DAP nak jadikan negara ini negara republik dan sebagainya. Walaupun DAP parti halal, siapa yang menyertainya adalah pengkhianat dan pembelot seperti yang di ungkapkan oleh Muhyiddin Yassin. Saya tidak tahu parti halal itu adalah parti pembelot.

Rakyat, khususnya orang Melayu ditakut-takutkan oleh UMNO yang Melayu akan hilang di dunia ini dan hanya UMNO sahajalah yang berkebolehan untuk menyelamatkan orang Melayu….seolah-olah tidak ada elemen-elemen lain yang boleh menyelamatkan bangsa yang di pimpinnya seperti kehendak tuhan dan afa’al tuhan. Pemimpin-pemimpin UMNO pergi sejauh menuduh DAP sebagai pencetus 13 Mei dan isu inilah yang di timbulkan setiap kali pilihanraya tiba.

Pemimpin mereka akan berkata yang UMNO sahaja yang boleh memberi mereka makan. UMNO sahajalah yang boleh melanggar undang-undang kerana pengaruh UMNO boleh memberikan ‘immunity’ kepada penjenayah kolar putih. Hanya UMNO yang boleh memberikan pinjaman ratusan juta jika isteri atau suami mereka berada di dalam kabinet.

Jika Shahrizat Jalil itu hanya seorang bidan di klinik desa, suaminya tidak akan dapat mendapatkan pinjaman RM250 juta dan membelanjakan wang hasil pinjaman mudah dengan interest hanya 2 peratus itu untuk membeli kondominium, dua lot tanah di Putrajaya, kereta Mercedez dan bercuti keluar negara serta mengerjakan Umrah. Hebat betul bila dapat jadi menteri walaupun mengikut jalan belakang.

Hanya UMNO boleh melanggar undang-undang dan perjanjian dan hanya UMNO boleh memasukkan atau mengeluarkan sesiapa dari penjara. Hanya UMNO boleh melakukan penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu seperti yang berlaku pada tahun 1993 dahulu yang di ketuai oleh Dr Mahathir Mohammed. UMNO merupakan satu ‘tool kit’ untuk sesiapa yang memegang parti ini tetapi sekarang ini sudah terlalu banyak trend yang membuktikan rakyat sudah berani menentang ‘hegemony’ UMNO ini. Kenapa rakyat sudah berani?

Jawapannya ialah kerana rakyat sudah tahu rupa-rupanya negara ini mereka yang punya, bukannya kepunyaan UMNO seperti yang mereka sebut dari dahulu hingga sekarang. Rakyat sudah insaf yang segala yang UMNO katakan itu kebanyakkannya merupakan tindakkan menyesatkan pemikiran mereka.

Rakyat baru sedar sekarang ini UMNO hanya mempunyai 56 kerusi parlimen di Semenanjung dan 13 lagi kerusi di Sabah dan jumlahnya hanyalah 69 kesemuanya. Rakyat sudah mulai sedar yang UMNO bukanlah parti yang memimpin parlimen itu dalam erti kata yang hakiki. UMNO hanyalah parti yang sudah begitu kecil penyertaan dan Dewan parlimen jika dibandingkan dengan masa-masa yang lalu. UMNO sekarang sudah menjadi parti yang menadah tempurung untuk mendapatkan lanjutan kuasa yang mereka telah alami sejak dulu lagi.

Rakyat sudah sedar yang rupa-rupanya UMNO bukanlah parti yang ‘invincible’ dan boleh diketepikan oleh rakyat apatah lagi dalam keadaan UMNO yang paling lemah dalam sejarah 23 tahun kewujudan parti itu. Baru sekarang UMNO hendak mencari calun-calun boleh menang tetapi sayangnya ia dilakukan semasa parti itu sudah tidak ‘winnable’ lagi. UMNO sesungguhnya sedang menghadapi krisis keyakinan yang paling teruk dalam sejarahnya.

Sebagaimana yang saya katakan tadi, di Semenanjung UMNO hanya mempunyai 56 kerusi dan ditambah dengan 13 kerusi dari Sabah yang belum tentu dapat bertahan atau tidak ke mana. Rupa-rupanya UMNO hanya mempunyai 20% suara dalam parlimen dan tahulah kita sekarang kenapa pemimpinnya bercakap bergegar-gegar dalam semua perjumpaan dalam persediaan menghadapi rakyat dalam tempoh yang terdekat ini.

Barulah rakyat sedar yang BN selepas pilihanraya ini hanya ada satu parti di Semenanjung ini kerana MCA dan Gerakan sudah hampir pupus dari scenario politik perdana negara ini. MCA dibawah kepimpinan CSL yang famous itu merupakan zaman yang paling getir dalam sejarah parti itu. Dijangkakan hampir semua baki-baki kerusi MCA itu akan hilang dan parti itu tidak akan lagi menjadi parti yang mempunyai apa-apa ‘consequence’ selepas ini.

Jika UMNO keseluruhan hilang 10 lagi kerusi kali ini ianya memberi makna yang UMNO sudah sampai ke penghujung hayatnya. Kalau UMNO mendapat kurang dari jumlah kerusi yang mereka menangi di dalam pilihanraya dahulu, waimma dengan hanya satu kerusi tambahan UMNO sudah boleh kita anggap secara ‘conclusive’ yang parti itu sudah mati dari segi hakikatnya.

Kalau keadaan itu berlaku keyakinan ahli-ahli UMNO sendiri akan menurun, apatah lagi bagi Melayu atau rakyat yang tidak menyertai mana-mana parti. UMNO sudah hilang kelayakan untuk memimpin BN kerana parti yang angkuh ini hanya mempunyai 23% perwakilan di parlimen. Apabila BN kehilangan komponen yang kedua terbesar dalam BN iaitu MCA maka BN tidak lagi mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin komponen yang suatu ketika dahulu gagah dan perkasa. UMNO tidak akan lagi dihormati dan disegani oleh parti-parti komponen yang berada di dalam BN keseluruhannya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...