ABU dilancarkan besar-besaran, desak rakyat tolak Umno


Ia menggesa rakyat menyatakan rasa jijik dan meluat terhadap penyelewengan dan rasuah yang dilakukan Umno/BN.

(Free Malaysia Today) – Satu gerakan rakyat yang dikenali sebagai Asalkan Bukan Umno/BN (ABU) akan dilancarkan secara besar-besaran pada 15 Disember ini di Markas Tarbiyah PAS,Taman Melewar,Gombak.

Ia menggesa rakyat  menyatakan rasa jijik dan meluat terhadap penyelewengan dan rasuah yang dilakukan  Umno/BN.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, gerakan dibuat di seluruh negara ekoran kemusnahan sistem negara yang dilakukan  oleh Umno.

Beliau yang turut dikenali sebagai Chegu Bard berkata, gerakan di Sabah dan Sarawak akan dibuat secara senyap-senyap.

“Sumber dalaman kami memberitahu bahawa kempen ini tidak boleh dibuat di Sabah dan Sarawak atas alasan keselamatan.

“Sasaran adalah kemusnahan yang diciptakan Umno. Malaysia akan menjadi lebih bersiap sedia tanpa Umno. Malaysia lebih dinamik dan berdaya saing. Rakyat lebih berkaliber dan cerdik jika tidak diperbodohkan Umno.

“ABU  yang digerak dan dipacu oleh rakyat. Kami gambarkan ia gerakan rakyat,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor/Kuala Lumpur hari ini.

Kempen rakyat

Chegu Bard menjelaskan bahawa kempen  ini didokong sepenuhnya oleh rakyat tanpa penglibatan  mana-mana parti politik.

“Ia gerakan rakyat. Ini bukan urusan parti politik ,tapi hal rakyat yang dimunculkan oleh Umno. Ia bukan sekadar program tapi satu gerakan,” jelas beliau.

Sementara itu, Presiden Pergerakan Hak-hak Sivil Malaysia (MCLM) Haris Ibrahim pula berkata, ABU membawa kebenaran kepada rakyat agar mereka sedar apa yang dilakukan oleh Umno selama 40 tahun memerintah.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...