‘DAP parti cauvinis’


Penyertaan kaum lain hanya dijadikan boneka

(Berita Harian) – Ramai tidak mengenali bekas guru, Abu Zahar Abu Bakar, 71, tetapi pengalamannya selama empat tahun menjadi ahli DAP amat berguna dijadikan pengajaran kepada orang ramai, khususnya orang Melayu.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Demokratik (SDP) itu menyertai DAP pada 1986 bersama bekas Presiden CUEPACS, Ahmad Nor, kerana yakin parti itu mewakili pelbagai kaum dan perjuangannya cukup berbeza dengan parti politik lain di negara ini.

Namun, ia hanya indah khabar daripada rupa. Selepas menjadi ahli DAP dan melihat sendiri perjalanan parti itu, keyakinannya pudar dan musnah sama sekali yang menyaksikannya keluar daripada parti itu pada 1990.

Peristiwa yang menjadi titik tolak kepada perubahannya apabila Ahmad yang memperoleh undi tertinggi dalam pemilihan DAP serta menjadi Ahli Parlimen Bayan Baru pada 1990, ‘dinafikan’ hak menjadi Pengerusi DAP Kebangsaan.

Katanya, Ahmad memperoleh sokongan kuat daripada ahli dan mendapat undi tertinggi kerana perjuangannya untuk rakyat, tetapi Dr Chen Man Hin yang mendapat undi kurang, malah kalah di kerusi Parlimen Seremban pada pilihan raya umum dipilih menjadi Pengerusi DAP Kebangsaan.

“Saya cukup kecewa dengan keputusan itu kerana hasrat sememangnya mahu melihat Ahmad menjadi pemimpin memperjuangkan masyarakat majmuk, tetapi tidak dapat kerana sistem pemilihan DAP yang agak pelik iaitu orang kalah pula dilantik sebagai ketua.

“DAP mempunyai peluang untuk membuktikan mereka adalah parti mewakili masyarakat majmuk dengan melantik Ahmad menjawat jawatan Pengerusi DAP kebangsaan berdasarkan sokongan terhadapnya tetapi itu tidak berlaku. DAP adalah parti cauvinis,” katanya kepada Berita Harian di sini.

Sehubungan itu, Abu Zahar mahu pengalamannya itu menjadi panduan kepada rakyat terutama orang Melayu bahawa DAP bukanlah parti berbilang kaum seperti dilaung-laungkan pemimpin parti, sebaliknya parti cauvinis.

“Trend itu berterusan apabila Tunku Abdul Aziz Ibrahim hanya dilantik Naib Pengerusi DAP. Kalau DAP mahu membuktikan mereka parti berbilang kaum, seharusnya beliau dilantik sebagai Pengerusi.

“Mereka hanya meletakkan pemimpin daripada kaum lain dan mendakwa DAP adalah parti berbilang kaum, sedangkan mereka menjadi boneka semata-mata.

“Ini harus menjadi petunjuk kepada rakyat khususnya orang Melayu supaya tidak tertipu dengan helah DAP yang kononnya parti berbilang kaum,” katanya.
 



Comments
Loading...