Dr Mahathir meminta Shahrizat berhenti. Yang lain-lain itu macam mana?


ASPAN ALIAS

Dr Mahathir telah meminta Shahrizat berundur sebelum beliau diundurkan. Dr Mahathir merupakan individu yang terakhir meminta Sharizat berundur kerana terlibat dengan pinjaman mudah dari kerajaan sebanyak RM250 juta untuk membangunkan NFC di Gemas, Negeri Sembilan.

Sebenarnya berundur itu memang tidak payah disuruh dan dipaksa kerana isu itu memang menuntut Shahrizat untuk mengundurkan diri secara ‘voluntary’ sesuai dengan semangat demokrasi yang tulen. Sepatutnya Sharizat lebih awal lagi berundur tetapi beliau sebaliknya menyingsing lengan dan mengkritik pembangkang pula yang melakukan fitnah dan sebagainya.

Seperti yang saya sebut dalam tulisan saya beberapa hari yang lalu keputusan kerajaan untuk memberikan pinjaman dengan begitu mudah adalah disebabkan Shahrizat adalah seorang ahli jemaah kabinet negara. Kalau Shahrizat seorang bidan di klinik desa di kampung saya suaminya tidak mungkin mendapat pinjaman yang mudah daripada kerajaan.

Kalau dipandang dari sudut mana sekali pun, skandal ini melibatkan bukan sahaja Shahrizat tetapi seluruh ahli jemaah kabinet dan sepatutnya yang berhenti bukan Shahrizat seorang tetapi kesemua ahli yang berada di dalam jemaah kabinet semasa itu, terutamanya TS Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi menteri pertanian dan asas tani negara.

Jika Shahrizat bertanggungjawab, maka Muhyiddin sepatutnya mengambil ‘accountability’ kerana projek ini mendapat sokongan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab. Sayalah orang yang paling awal menerima cadangan TUN yang Shahrizat patut berundur tetapi masalahnya kenapa Sharizat sahaja? Kenapa tidak mereka yang lain yang telah menggunakan kuasa untuk kepentingan anak-anak dan keluarga dengan menggunakan duit orang ramai untuk menyelamatkan keluarga yang gagal dan perniagaan.

Tentu Dr Mahathir tahu siapa yang menggunakan lebih dari satu billion wang rakyat untuk digunakan untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang dalam kerugian besar semasa itu. Kenapa pemimpin itu tidak meletakkan jawatan dengan serta merta? Kita akui yang kesalahan politik dan moral yang dilakukan oleh Shahrizat adalah besar tetapi kenapa tidak mengambil tindakan kepada kes yang lebih besar dari itu?

Saya juga hendak bertanya bagaimana hendak membuang Shahrizat sedangkan parti telah mengambil ketetapan untuk mempertahankan Shahrizat. Muhyiddin Yassin, Noh Omar, Khairy Jamaluddin dan ramai lagi yang mempertahankan Shahrizat. Dalam perhimpunan agong 3 sayap parti dan perhimpunan agong UMNO sendiri tidak ada apa-apa tindakan yang di ambil terhadap Shahrizat.

Inilah masalahnya UMNO ini. Pemimpin-pemimpin mereka mempunyai kepentingan perniagaan. Kepentingan perniagaan itu satu hal. Yang lebih menyedihkan berlaku di dalam UMNO ini ialah nilai kepimpinan, nilai kemanusiaan serta budaya di kalangan ahli-ahli dan penyokongnya telah terlalu ,’un Malay’, budaya yang bukan dimiliki oleh Melayu.

Persepsi kepada sesuatu isu itu sudah terlalu jauh menyimpang dan tidak pernah kita sangka yang keadaan sudah sampai ke tahap yang sangat merunsingkan. Kita boleh lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang beberapa hari yang lepas di mana sekumpulan penyokong kerajaan yang anti DAP telah menampakkan kebobrokan mereka dengan menghantar kek berbentuk tahi kepada Lim Guan Eng.

Apa semuanya ini? Tindakkan tidak berbudaya dan beragama ini disokong pula oleh media masa perdana kepunyaan UMNO TV3 dengan menyiarkan berulang kali untuk memberi tekanan kepada DAP. Inikah hasil perjuangan UMNO? Ini kah budaya yang UMNO bentuk selama ini. Ini kah budaya Melayu?

Mentaliti yang sudah jatuh ke tahap ini sekali gus melambangkan pihak yang menyokong UMNO itu sudah berada di dalam keadaan desperate yang tidak terhingga. Di perhimpunan agong di Kuala Lumpur kita mendengar ada pemimpin-pemimpin yang menggunakan ayat-ayat suci, tetapi di bawah, penyokong-penyokongnya menggunakan taktik politik yang bukan islamik.

Mereka membuat kek berbentuk tahi untuk di hadiahkan kepada Ketua Menteri yang menyambut hari jadi yang ke 51. Kalaulah hanya ini yang UMNO mampu untuk mencapai maka kita eloklah berfikir 1000 kali sebelum memberikan undi kepada parti yang kian hari kian gila ini.

Sampai bila kita rakyat hendak hidup bersama dengan kumpulan yang tidak berbudaya ini. Menghantar kek berbentuk tahi ini memang satu insiden yang sudah cukup untuk di nilai bagaimana UMNO membentuk budaya dan sifat penyokong-penyokong mereka. Sifat amarah yang tidak ada batasan semata-mata kerana hendak menjatuhkan pimpinan negeri dengan melakukan tindakkan yang tidak terperi hinanya ini amat memalukan bangsa.

Kenapa tidak bertindak dengan melakukan kerja-kerja baik untuk meyakinkan rakyat untuk menyokong pimpinan UMNO? Percayalah ini bukan budaya yang sepatutnya ada dalam UMNO. Itulah sebabnya saya telah menyebutkan ratusan kali, budaya ini bukannya budaya UMNO yang asal. Ini budaya UMNO baru, parti yang ditubuhkan untuk menyelamatkan Dr Mahathir dahulu. Jika UMNO yang ada pada hari ini serupa dengan UMNO dahulu, politik negara tidak akan jadi begini keadaannya.

Bagi pendapat setengah pihak samada Shahrizat berhenti atau pun tidak UMNO akan tetap berada dalam keadaan yang sama. UMNO itu telah jatuh imejnya bukan oleh kerana Shahrizat seorang. Ia di sebabkan oleh semua pemimpin-pemimpin parti itu. Terus terang saya nyatakan yang patut berhenti ialah Najib dan seluruh barisan pimpinannya. Kata perbilangan, ‘busuknya ikan itu bermula dari kepalanya’.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...