PRU-13: Pekida ikrar pangkah BN


Presiden Jamaluddin Yusof berkata Pekida bertanggungjawab untuk memenangkan Barisan Nasional supaya orang Melayu bernafas.

(Free Malaysia Today) – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menyatakan ikrar mereka untuk setia ‘pangkah’  Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU-13) akan datang.

Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof berkata tidak cukup untuk pertubuhan itu memberi sokongan moral semata-mata memandangkan kemenangan BN pada PRU-13 kelak menjadi keutamaan bersama.

“Kita bagi sokongan dengan mengajak ahli-ahli Pekida untuk memenangkan BN agar kekal memerintah negara. Sokongan moral sahaja tidak cukup, maka kita mahu ahli-ahli pangkah BN pada pilihan raya nanti. Kerana pada anggapan Pekida BN menjalankan pemerintahan dengan berkesan.

“Semua ahli-ahli Pekida perlu sokong BN….kita ibarat adik-beradik maka akan sama dan perlu bantu antara satu sama lain. Pekida bertanggungjawab untuk memenangkan BN supaya orang Melayu bernafas.

“Tapi bagaimana untuk kami gerakan kepada ahli-ahli ia adalah rahsia,” katanya kepada FMT.

Pekida kini mempunyai dua juta ahli di seluruh negara dengan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah merupakan penaung bagi pertubuhan berkenaan.

Sementara itu, Jamaluddin mengakui bahawa sokongan orang Melayu terutama anak muda menjadi pertikaian memandangkan mereka kini lebih banyak terpengaruh dengan fahaman luar.

Sokongan anak muda terhakis

Katanya ia menjadi ancaman kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan pemerintahannya kerana secara tidak langsung menghakis sokongan anak muda kepada pemimpin nombor satu negara tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut Jamaluddin Pekida mempunyai ‘cara’ tertentu untuk menarik minat golongan anak muda ini terus menyokong BN.

Namun beliau enggan menjelaskan secara terperinci perkara itu, dan sebaliknya berkata ada perkara tertentu perlu diselesaikan Najib sebelum mengadakan PRU-13 nanti.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...