Hasan mahu Saari dirujuk ke Lembaga Disiplin


Kenyataan Adun Hulu Kelang itu mengenai penggugurannya di kerusi Gombak Setia merupakan punca kepada tercetusnya polemik.

(Free Malaysia Today) – Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali menggesa agar Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti kerana mengeluarkan kenyataan berhubung senarai calon PAS untuk Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).

Katanya, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu mengenai penggugurannya di kerusi Gombak Setia merupakan punca kepada tercetusnya polemik sehingga menyebabkan pergeseran antara pemimpin parti.

“Saya ingin menyarankan supaya pimpinan tertinggi parti mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Penerangan PAS Selangor.

“Beliaulah yang mula menyemaikan bibit perpecahan dikalangan ahli dan penyokong parti. Tindakan beliau jelas tidak menguntungkan parti,” katanya dalam sidang media dirumahnya di sini hari ini.

Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor sebaliknya menegaskan bukan dirinya yang menjadi punca kepada timbulnya isu ini, tetapi Saari.

“Saya ingin tegaskan kepada ahli dan penyokong PAS dan kepada sesiapa sahaja bahawa saya bukanlah pihak yang menimbulkan polemik ini.

“Sebaliknya isu ini timbul hasil daripada pengumuman yang dikatakan tidak kena masa dan tempatnya oleh Ketua Penerangan PAS

Selangor mengenai pencalonan nama saya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar satu siasatan terperinci dibuat ke atas proses pencalonan dan keputusan akhir bilangan pencalonan yang diterimanya di kawasan Gombak seperti yang dibuat oleh PAS kawasan itu.

“Siasatan ini dicadangkan bagi melenyapkan sebarang spekulasi yang timbul berkaitan dengan pencalonan saya,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...