Perkasa: Melayu tidak akan keluar undi jika SPR guna dakwat kekal


(The Malaysian Insider) – Perkasa menolak keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang semalam mengumumkan akan menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 atas alasan orang Melayu tidak akan keluar mengundi selain mendakwa ia bertujuan mengurangkan peratusan pengundi kalangan kaum itu kelak.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya yakin penggunaan dakwat kekal akan membawa negara ke belakang.

Selain itu kata beliau, Perkasa percaya ramai pengundi Melayu tidak akan keluar mengundi jika penggunaan dakwat kekal diteruskan.

Semalam SPR mengumumkan bahawa semua pengundi wajib dicalit dengan dakwat kekal dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian, maka pengundi terbabit tidak akan diberikan kertas mengundi.

Langkah itu seiring dengan syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

“Adalah memalukan negara yang jauh lebih maju dari negara-negara membangun lain mahu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum.

“Malaysia bukan negara seperti Somalia, Bangladesh, Pakistan, Afghanistan, Kemboja dan lain-lain negara mundur yang rekod pengenalan diri masih tidak canggih, yang menggunakan kertas biasa dengan maklumat peribadi tulisan tangan. Memalukan,” katanya.

Syed Hassan juga mendakwa Perkasa percaya gesaan untuk penggunaan dakwat kekal adalah daripada pihak yang sebenarnya tidak mahukannya juga tapi oleh kerana ia cara untuk membuatkan orang Melayu dan Islam tidak mahu keluar mengundi.

“Siapa yang untung jika orang Melayu tidak keluar mengundi? Saya sendiri kemungkinan besar tidak akan keluar mengundi jika kekal dengan penggunaan dakwat kekal.

“Dan, kemungkinan ramai ahli Perkasa tidak keluar mengundi juga. Siapa yang akan terasa rugi jika ramai ahli Perkasa dan orang Melayu lain tidak keluar mengundi?” katanya.

Oleh itu kata beliau, kerajaan perlu berfikir dengan sebaik-baiknya keputusan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...