Response to the Alumni of Yayasan Selangor


MAKLUM BALAS BERHUBUNG PENUTUPAN SERTA PERPINDAHAN PELAJAR ASRAMA YAYASAN SELANGOR  KUALA LUMPUR (AYSKL)

En. Aina Hanim bin Lokman
Presiden
Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor (PAYS)
No.8, Jalan SS 17/3
47500 Subang Jaya
Selangor Darul Ehsan
 
 
MAKLUM BALAS BERHUBUNG PENUTUPAN SERTA PERPINDAHAN PELAJAR ASRAMA YAYASAN SELANGOR  KUALA LUMPUR (AYSKL)
 
Dengan hormatnya merujuk surat tuan PAYS/2011/003/mb bertarikh 1 Disember 2011.
 
2.         Sebagaimana sedia maklum, kawasan sekitar Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur sedang pesat membangun selari dengan pembinaan sistem jaringan MRT. Persekitaran ini tidak sesuai dan tidak kondusif bagi pelajar-pelajar menginap dan menjalani kehidupan di asrama serta mengikuti pembelajaran di kelas.  
 
3.         Yayasan Selangor telah menjalankan soal selidik dan sesi dialog bersama ibu bapa dan pelajar. Maklum balas dan pandangan hasil aktiviti tersebut dapat dirumuskan seperti berikut :-
 
3.1       80 % bersetuju untuk sama ada berulang alik ke sekolah asal, bersekolah di sekolah pilihan ataupun ditempatkan di sekolah / sekolah asrama harian terpilih
 
3.2       20% bersetuju untuk kekal di Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur
 
4.         Perancangan dan keputusan yang dibuat oleh pengurusan Yayasan Selangor berdasarkan pertimbangan yang teliti dengan mengambil kira semua aspek bagi memastikan kelangsungan pendidikan pelajar-pelajar tajaannya. Langkah-langkah yang telah diambil adalah:
 
4.1       Mengekalkan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2012
 
4.2       Menawarkan kepada pelajar-pelajar lain (Tingkatan 2/2012 dan Tingkatan 4/2012) beberapa alternatif; antaranya:-
4.2.1    Penempatan di sekolah / sekolah asrama harian terpilih di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor 
 
4.2.2    Penempatan di sekolah sedia ada dan berulang alik dari rumah
 
4.2.3    Penempatan pilihan pelajar/ ibu bapa
 
4.2.3    Penempatan di Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL) untuk tempoh setahun (2012)
 
4.3       Menawarkan beberapa insentif tambahan bagi memastikan hak istimewa pelajar-pelajar tajaannya terjamin
 
5.         Pada awal penubuhan Yayasan Selangor, pelajar-pelajarnya ditempatkan di asrama Yayasan Selangor dan bersekolah di sekolah-sekolah kawalan sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Pada tahun 2012, Yayasan Selangor telah mengembangkan sayap Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor dengan menambahkan penajaan untuk pelajar-pelajar yang berulang dari rumah ke sekolah. Pelajar-pelajar ini juga menikmati kemudahan kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik dan program kepimpinan, tawaran biasiswa bagi yang berkelayakan serta pemantauan akademik yang berterusan. Jumlah asrama daerah juga turut bertambah daripada 9 kepada 17 buah sekolah yang menempatkan pelajar Yayasan Selangor.

6.         Yayasan Selangor juga turut membantu membaiki kemudahan prasarana dan infrastruktur untuk sekolah-sekolah daif persendirian di Selangor. Yayasan Selangor telah menaja pelajar-pelajar di Maahad Tarbiyah Islamiah Al-Ansar di Berjuntai Bestari dan Pusat Pengajian Pondok Bustanul Ariffin, Kampung Labohan Dagang, Banting, Selangor. Tajaan ini adalah dari segi tajaan makan/minum, kemudahan pengangkutan ke masjid untuk solat Jumaat dan pembayaran bil utiliti. Disamping itu, Yayasan Selangor turut memberi sumbangan kepada program yang berteraskan pendidikan kepada rumah anak-anak yatim, NGO, PIBG Sekolah, program SPIES dan sebagainya. Program-program CSR juga dirangka untuk membantu anak-anak yatim, miskin dan golongan yang perlu dibantu serta diberi program secara berpusat.
 
7.         Pada tahun 2012, Yayasan Selangor akan mengkhaskan pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar di peringkat sijil dan diploma dalam bidang kemahiran. Pinjaman pelajaran ini akan memberi peluang kepada remaja yang kurang cemerlang akademiknya dan golongan generasi tercicir (lost generation) untuk belajar dalam bidang kemahiran. Setelah menamatkan pengajian diharap pelajar-pelajar ini mendapat pekerjaan yang sesuai dan menjadi insan yang berguna.

8.         Sehubungan dengan itu, Yayasan Selangor telah memperuntukkan pinjaman pelajaran bagi tahun 2012 iaitu sejumlah RM782,000 untuk pelajar INPENS. Peruntukan tersebut melibatkan RM430,000 untuk pelajar-pelajar baru dan RM352,000 untuk pelajar yang sedia ada. Pembiayaan ini menunjukkan bahawa Yayasan Selangor serius dalam usaha untuk memberi peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar kemahiran supaya mereka mendapat pendapatan yang lumayan suatu hari kelak dan seterusnya membayar kembali pinjaman tersebut.

9.        Yayasan Selangor sentiasa berusaha kuat untuk mengumpul pendapatan dan dana. Punca pendapatan ini adalah dari hasil sewaan ruang pejabat dan kediaman, projek usahasama, mengusahakan ladang kelapa sawit, pelaburan jangka pendek dan panjang, penyewaan kem-kem bina semangat dan PLKN dan sebagainya. Yayasan Selangor telah berjaya menjana pendapatan sendiri untuk perbelanjaan tadbir urus syarikat dan menjalankan aktiviti pendidikan dengan menaja pelajar-pelajar di asrama mahupun menaja pelajar-pelajar di menara gading dan program-program modal insan.  Yayasan Selangor dalam usaha menjana lebih pendapatan agar lebih ramai pelajar dapat ditaja dengan projek pembangunan semula bangunan Yayasan Selangor di Bukit Bintang, Kg.Baru, pembangunan tanah di Presint 7 Shah Alam dan pembangunan tanah di Kampung Pandan.

10.          Seluruh warga kerja Yayasan Selangor berazam untuk berusaha keras demi memenuhi tanggungjawab sosial sebagai pemangkin membentuk generasi berilmu dengan menawarkan akses pendidikan samarata kepada rakyat  Selangor walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan. Yayasan Selangor akan terus menjana dana untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar dari peringkat sekolah pondok sehingga ke menara gading.

11.       Yayasan Selangor juga telah memperuntukkan RM350,000 pada tahun 2012 untuk menaja 50 orang pelajar peringkat Asasi di UNISEL dan pada tahun-tahun seterusnya.
 
 12.      Pembelian rumah banglo berdekatan dengan SMK Assunta, SMK Sri Aman, SMK Bukit Bintang dan  SMK La Salle (semuanya terletak  di Petaling Jaya) tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendidikan Selangor untuk dijadikan Asrama Harian.

13.       Yayasan Selangor juga sedang menunggu keputusan dari pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan bagi mengisi 260 tempat kosong di asrama SMK Victoria  untuk menempatkan pelajar tajaan Yayasan Selangor di SMK Victoria, SMK St John, SMK Aminuddin Baki dan SMK (L) Methodist.  

14.         Yayasan Selangor tidak pernah lupa jasa dan pengorbanan Allahyarham Dato’ Harun Idris. Aspirasi beliau tetap akan diterjemah dengan pendekatan yang berbeza selaras dengan situasi semasa. Mulai tahun 2012, Program Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor akan dikembangkan di setiap daerah dengan  mengambil pelajar sama ada ditempatkan di asrama mahupun berulang dari rumah.
 
15.         Sewajarnya PAYS bertindak membantu Yayasan Selangor melaksanakan perancangan pendidikan khusus untuk rakyat Selangor dan bukannya sebagai kumpulan pendesak yang bertindak secara melulu. PAYS boleh menggunakan pendekatan yang lebih sesuai dan tidak menjadikan perkara ini sebagai isu politik yang menjatuhkan imej Yayasan Selangor di mata masyarakat. Yayasan Selangor amat kesal atas sikap PAYS yang seumpama `Kacang Lupakan Kulit’.
 
16.       Adalah lebih bijak dan befaedah jika PAYS berganding bahu bersama Yayasan Selangor untuk memohon  dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan agar segera meluluskan permohonan membuka Asrama Harian di Petaling Jaya dan di SMK Victoria. Itu adalah  lebih baik dari menggigit tangan pihak yang pernah membantu anda dan membuat bising tanpa arah tujuan.
  
Sekian, terima kasih.
 
Yang benar,
 
 
ILHAM BIN MARZUKI
Pengurus Besar
Yayasan Selangor

 



Comments
Loading...