Hasan Ali : Kalau datang dulu nampak mukanya, kalau nak pergi biarlah nampak belakangnya


ASPAN ALIAS

Beberapa orang rakan meminta saya membuat sedikit komen tentang apa yang berlaku dalam PAS yang berkait dengan isu Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa. Saya pula berpendapat itu adalah isu dalam PAS dan Nasharudin telah menyatakan yang beliau akan terus setia dengan PAS. Tetapi mereka mahukan komen pendek saya tentang Hasan Ali, Exco kerajaan Selangor yang menyatakan yang PAS telah menyimpang dari perjuangan asalnya.

Oleh kerana PAS bukan parti saya maka saya tidak dapat memberikan komen yang tepat kerana saya tidak pernah berada di dalam parti itu. Oleh kerana tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam parti itu saya tidak mampu untuk memberikan komen. Saya mungkin boleh memberikan sedikit sahaja komen mengikut apa yang saya nampak dan dengar dan komen saya hanyalah berdasarkan kepada ‘apa yang terbit, itulah yang saya tuai’.

Saya telah mendengar tentang Hasan Ali ini sejak beberapa lama dahulu. Beliau begitu resah berada dalam PAS kerana beliau telah dijadikan umpan oleh pihak yang berseteru dengan PAS agar PAS menjadi lemah. Beliau adalah orang yang kuat untuk menemukan PAS dengan UMNO untuk penyatuan orang Melayu Islam tetapi usaha beliau itu tidak pergi ke mana-mana kerana keseluruhan ahli PAS telah memberikan ‘stand’ yang tegas melalui muktamar parti itu yang bekerjasama dengan UMNO itu tidak berhasil.

Hasan di katakan agak ‘obsess’ dengan usaha menyatukan UMNO dengan PAS dan keputusan PAS tidak melayani cadangan UMNO untuk PAS bersatu dengannya. Ramai berpendapat kecenderungan Hasan untuk mendapat keuntungan peribadi beliau merupakan penyebab mengapa beliau mengambil stand ‘middle left’ dalam perhubungan di antara PAS dengan UMNO. Keuntungan yang di rasakan akan di perolehi oleh beliau jika PAS bekerjasama dengan UMNO ialah jawatan yang baik seperti MB dan lain-lain, lebih baik dari apa yang beliau sandang sekarang ini.

Bagi pendapat saya secara peribadi, Hasan patut meninggalkan sahaja PAS dan tidak berdolak dalik dengan susunan kata-kata yang mudah dibaca orang. Bak kata perbilangan, ramai boleh ‘menyelam air dalam tunggak’ Hasan itu. Hasan mesti faham dalam keadaan sekarang hanya ada dua posisi yang di ambil oleh individu yang bermain politik; iaitu duduk di sana atau duduk di sini. Politik hari ini memerlukan pendirian yang jelas kerana bagi pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan kepimpinan negara, mereka tidak mahu berketuakan mereka yang tidak di sini dan tidak di sana.

Bagi pihak yang menentang arus mereka mahu melihat pemimpin yang jelas mahu melihat pimpinan hari ini di ambil alih oleh pihak alternatif. Sebaliknya bagi mereka yang mahu mempertahankan pimpinan yang ada mereka perlu jelas duduk di sebelah pihak yang mempertahankan pimpinan itu dengan jelas dan nyata. Mereka yang cuba bermain politik mengikut jalan tengah pada masa ini pasti akan menghadapi masalah besar.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...