Isa sepatutnya jadi peneroka dulu, baru jadi pengerusi koperasi
ASPAN ALIAS
FELDA tidak akan sama lagi seperti dahulu. Perpecahan yang nyata berlaku di FELDA, samada di kalangan peneroka dan pegawai-pegawai serta kakitangan-kakitangan perbadanan yang tertua negara itu. Kalau dahulu Felda merupakan satu perbadanan yang terurus dengan agak baik tetapi sekarang oleh kerana wujud elemen pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan politik peribadi ke atas Felda ini maka unsur-unsur perpecahan dalam tanah rancangan ini sedang bertambah teruk dan menakutkan.
Felda sejak tertubuhnya adalah di bawah Kementerian Tanah dan Wilayah dan dengan tekun serta kerja tidak mengenal penat lelah oleh mereka yang bertanggungjawab maka Felda telah maju dan menjadi di antara perbadanan yang paling kaya samada dalam bentuk tunai dan asetnya.
Kalau perbadanan ini mula di tadbir oleh pelaksana yang jujur seperti Tan Sri Taib Andak perbadanan ini telah berkembang di bawah kelolaan Raja Tan Sri Alias Ali sehingga Felda terkenal di seluruh dunia sebagai tanah rancangan yang paling tersusun dan ditadbir dengan baik serta beretika di bawah pimpinan Raja Tan Sri Alias Raja Ali selama 3 dekad beliau berada di sana.
Politik tidak begitu masuk campur dalam hal Felda selama ini. Kalau ada pun politik di dalamnya ianya terbatas kepada mempastikan yang matlamat asal penubuhan Felda itu di capai mengikut kehendak dasar-dasar yang di kepilkan dengan penubuhannya itu. Kerjasama semua pihak, pengurusan dari ibu pejabat sehingga pejabat pentadbiran wilayah-wilayahnya sehinggalah kepada individu-individu peneroka serta pengorbanan mereka semua telah menjadikan Felda sebagai perbadan yang paling baik pentadbirannya.
Kebaikkan pentadbiran perbadanan ini tentulah di sebabkan perbadanan ini di ketuai oleh pelaksana yang sangat komited terhadap tanggungjawab yang di amanahkan oleh pimpinan Melayu negara. Komitmen Raja Tan Sri Alias dalam membina Felda sehingga sampai ketahap ini memang menjadi contoh kepada semua pihak.
Nama Raja Tan Sri Alias di Felda itu terpahat sehinggakan ism pelaksana dasar kerajaan ini tidak akan mudah dilupakan oleh pegawai dan kakitangan Felda serta peneroka keseluruhannya. Apabila Raja Tan Sri Alias bersara Felda masih utuh kerana ism dan sistem tadbiran di bawah Raja Tan Sri Alias itu sangat berkesan dan ‘follow through’ dengan sistem Raja TS Alias itu terus menjadi asas pembangunan Felda sehingga orang politik mengetuai Lembaga Pengarah perbadanan itu bernama Tan Sri Yusuf Nor.
Tan Sri Yusuf Nor tidak mencuba-cuba untuk menggali dan menganjak cara Raja TS Alias di dalam perbadanan itu maka tidak adalah masalah besar berlaku di bawah pengerusinya TS Yusuf Nor itu.
Felda telah begitu berjaya sehinggakan ada pihak yang begitu cair air liurnya kerana kekayaan perbadanan ini hasil dari penat jerih ratusan ribu peneroka yang berada di bawah paying Felda itu. Dengan senyap-senyap Felda dipandang oleh setengah pihak sebagai perbadan yang boleh di kudakan untuk kepentingan politik setengah pihak. Maka Felda telah dipindahkan dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada Jabatan Perdana Menteri dan duduk di bawah dagu Najib Tun Razak sejak beliau masih menjadi Timbalan Perdana Menteri sehinggalah sekarang.
Sejak perpindahan Felda dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada pentadbiran Najib Razak inilah Felda mula di hinggapi penyakit yang berbagai-bagai. Sejak di bawah tadbiran Najib ini Felda telah menjadi tempat pelahap-pelahap negara mengambil kesempatan dan peneroka-peneroka rancangan tanah ini.
Sebelum ini peneroka dan rakyat tidak berapa menyedari apa yang telah dilakukan kepada mereka, Sekarang mereka telah celek dan mulalah anak-anak generasi Felda ini terutamanya mengambil langkah melakukan tentangan terhadap pihak berkuasa kerana tindakkan unilateral kerajaan persekutuan dalam menentukan corak Felda menghadapi masa depan yang kian mencabar.