Perkasa kecam pemimpin gereja kerana persoal perlembagaan
“Nampaknya serangan terhadap Artikel 153 sudah di tahap kemuncak apabila ketua agama lain juga mempersoalkannya,” kata Setiausaha Agung, Syed Hasan Syed Ali.
(free Malaysia Today) – Perkasa mengecam pemimpin tinggi Gereja National Evangelical Christian Fellowship (NECF) Rev Dr Eu Hong Eng kerana mempersoalkan perlembagaan persekutuan.
Dr Eu dilaporkan sebagai berkata, Artikel 153 perlembagaan persekutuan seperti membuli jika hanya melindungi hak satu kaum sahaja.
Beliau berkata demikian dalam majlis jamuan teh Krismas yang turut dihadiri Menteri Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail serta beberapa ahli politik BN dan Pakatan Rakyat .
Perkasa berpendapat paderi tersebut tidak faham apa Artikel 153 perlembagaan negara atau sengaja mahu menimbulkan ketegangan.
Setiausaha Agung, Syed Hasan Syed Ali berkata, imam Islam tidak pernah mengusik perlembagaan negara.
“Nampaknya serangan terhadap Artikel 153 sudah di tahap kemuncak apabila ketua agama lain juga mempersoalkannya.
“Lebih sedih ianya dipersoalkan dalam gereja oleh paderi,” katanya dalam kenyataan hari ini.