Perang mulut seharusnya buka mata pemimpin PAS bawahan
Episod Hasan dan Nasharuddin membelasah PAS secara terbuka harus diambil iktibar oleh kepimpinan PAS di peringkat negeri, kawasan dan cawangan.
(Free Malaysia Today) – Perang mulut bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali seharusnya membuka mata kepimpinan PAS di peringkat pertengahan dan bawahan.
Jika dakwaan Hasan dan Mustafa dijadikan rujukan maka kemungkinan Hasan, Mustafa dan Nasharuddin pernah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Umno ada asasnya.
Pada mulanya Mustafa berkata Hasan dan Nasharuddin pernah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno di Hotel Le Meridien pada bulan Ramadhan lalu.
Bagaimanapun Mustafa enggan mengulas lanjut berhubung maklumat pertemuan tersebut.
Selepas 48 jam, Hasan pula dalam sidang media berkata sebenarnya Mustafa yang beberapa kali mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno.
Namun masing-masing tidak mahu mendedahkan maklumat terperinci tentang pertemuan-pertemuan tersebut.
Tetapi bagi mereka yang mengikuti politik tanahair dengan rapat terutama yang Pro-Pakatan Rakyat adalah tidak sukar untuk menjangka bahawa pertemuan tersebut mungkin bersangkut paut dengan agenda Kerajaan Perpaduan (Unity Government), gabungan Umno dan PAS.
FMT difahamkan asalnya Mustafa, Hasan dan Nasharuddin sememangnya merupakan amat akrab dan dikatakan mendukung agenda UG.
Desas desus berkata idea UG ini lahir dari Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din.
FMT juga difahamkan turut menyokong agenda UG ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk
Harun Taib; Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan At-Tantawi dan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun apabila berlaku bantahan dari dalam terutama sekali apabila Musyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta diadakan Muktamar Khas untuk membincangkan isu UG dan apabila Nik Aziz secara terbuka meminta Nasharuddin meninggalkan PAS jika sayang sangat kepada Umno, isu UG terus senyap.
Pertikaman lidah
Maka apabila berlaku pertikaman lidah dalam media apabila Mustafa menuduh Hasan dan Nasharuddin pernah berjumpa pemimpin Umno dan apabila Hasan memulangkan kata-kata, Mustafa lah yang sebenarnya pernah berjumpa pemimpin Umno maka segala dakwaan seorang blogger Pro PAS sejak tahun 2009 ada sedikit kebenarannya.
Pada 5 November 2009 seorang ahli PAS bernama Abdul Rahman Abdul Talib yang juga merupakan seorang blogger yang dikenali sebagai Tulang Besi dalam sebuah posting beliau berkata beliau telah menghantar email kepada Tuan Ibrahim (Naib Presiden ketika itu).
Beliau membuat aduan rasmi ke atas salah laku Nasharuddin berhubung pertemuan Nasharuddin (termasuk Hasan) dengan blogger- blogger termasuk blogger Umno.
Tulang Besi juga muat naik rakaman pertemuan tersebut yang dirakam secara rahsia di dalam blog beliau.
Namun sehingga hari ini isu tersebut disenyapkan oleh PAS dan apabila isu Hasan dan Nasharuddin mengeluarkan kenyataan yang seiring dengan kenyataan Umno menghentam PAS, maka sebenarnya ramai pemimpin PAS peringkat atasan yang tidak menyenangi idea UG ini tidak terkejut.
Selepas isu kritikan Hasan dan Nasharuddin terhadap PAS secara terbuka mendapat liputan meluas media arus perdana, ramai pemimpin PAS peringkat negeri, kawasan dan cawangan seperti baru terhantuk kepala.
Pemimpin PAS pro Umno?
Golongan pemimpin ini merupakan golongan yang tidak mempercayai kononnya ada kepimpinan PAS Pusat yang pro Umno selama ini.
Bagi mereka ini semua fitnah daripada blogger pro PAS dan mereka pernah mengecop blogger seperti Tulang Besi sebagai blogger Umno tetapi menyamar sebagai blogger pro PAS kerana sering melabelkan pemimpin pro UG ini sebagai pemimpin pro Umno untuk memecah belahkan PAS.
Kini segala usaha “coverline” yang dilakukan sebelum ini oleh kepimpinan PAS Pusat sudah terburai secara terbuka dek kerana kenyataan secara terbuka oleh Mustafa, Hasan dan Nasaruddin sendiri.
FMT merasa pelik kerana serangan Hasan dan Nasharuddin secara terbuka ke atas PAS selama seminggu itu merupakan satu kesalahan tatatertib yang besar.
Jika perkara yang sama dilakukan oleh seseorang pemimpin dari Umno, MCA, MIC, PKR atau DAP, sudah pasti pemimpin itu sudah dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin. Tindakan tegas pasti menanti pemimpin tersebut dan paling minimum akan dikenakan tindakan digantung daripada jawatan dan tugasan parti.
Agak pelik juga apabila Mustafa mengetahui banyak pergerakan Hasan dan Nasharuddin berhubung pertemuan Hasan dan Nasharuddin dengan pemimpin Umno sebelum ini tetapi mengapa sebarang tindakan tidak diambil oleh beliau atau kepimpinan PAS Pusat?
Setakat hari ini tidak ada sebarang tindakan disiplin atau siasatan diadakan terhadap Hasan dan Nasharuddin.
Kenyataan Mustafa di FMT bahawa beliau tidak mahu memberi apa-apa kenyatan kerana Hasan dan Nasharuddin tidak lagi meyerang PAS tidak menjawab persoalan besar apakah benar Hasan dan Nasharuddin pernah berjumpa dengan pemimpin Umno.
Mustafa juga berkata “No komen, biar dia kata apa pun. Kalau dia nak bercakap, biarlah dia bercakap,” katanya kepada FMT pada Sabtu lepas.
Perjumpaan empat mata Hasan dan Nasharuddin dengan Abdul Hadi nampak seperti tindakan formaliti untuk menutup pekung atau dalam bahasa pasar sebagai “coverline”.