Apa maksud ‘Pemimpin yang ditunggu’


Tok Ki, The Malaysian Insider

Menatap video rakaman ucapan Dr Badrul Amin adalah contoh lawak terbaik menjelang 901. Antara yang saya sempat kutip daripada video itu; “Perlu ada seorang pemimpin yang mampu menyatukan umat Islam — paling tidak menyatukan dunia Arab. Ia akan datang dari sebelah Timur. Ia sudah ada dan sedang disiapkan dengan mengalami siri ujian-ujian peringkat akhir. Orang hormat prinsip agamanya. Dan dia ialah Anwar Ibrahim”.

Lawak sungguh firasat Dr Badrul. Bagaimana “ulama” PKR ini tergamak membuat kenyataan yang memperlihatkan daya taksub kelas pertama sedangkan yang digambarkan itu penuh dengan masalah integriti atau kewibawaan. Sayang, ilmu yang dimilikinya, kelulusan yang didapatinya tidak seimbang dengan kenyataan yang dibuat.

Kalaulah dikatakan Anwar memiliki faktor penyatuan umat, kerana cita-cita peribadinya untuk sampai ke Putrajaya, umat Islam berpecah dan umat Malaysia terjebak dalam sengketa. Ramai kawan yang dulunya rapat dengannya kini meninggalkannya. Dia tak mampu menjadi faktor pemersatu. Alasan kawan-kawan yang meninggalkannya ialah Anwar tidak layak menjadi pemimpin kerana menghadapi masalah moral yang serius. Anwar membalas dengan mudah dan lazim kepada yang meninggalkannya — mereka sudah dibeli oleh Umno atau kerajaan.

Ujian yang dilaluinya adalah hasil perbuatannya sendiri. Dia tuduh konspirasi berlaku. Mana bukti konspirasi itu. Apakah mudah pihak polis, ahli perubatan, pakar forensik, pegawai pendakwa, hakim dan lain-lain lagi berpakat untuk melakukan kerja keji dan zalim itu. Kalau ia berlaku lambat laun ia akan pecah juga, “mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia, tidak!”

“Orang itu datang dari Timur”. Ini mengingat penulis Allahyarham Ustaz Ashaari Muhammad, pemimpin Arqam mengenai Pemuda Bani Tamim yang bakal muncul datang dari Timur. Apakah Anwar Ibrahim orangnya. Ciri-ciri yang disebutkan oleh Dr Badrul tidak menggambarkan watak sedemikian. Apakah kenyataan Dr Badrul sebagai strategi “pemujaan” menjelang 901.

Dia disebut sebagai menghormati prinsip agama. Dr Badrul tentu arif mengenai isu “kalimah Allah” yang diperjuangkan oleh Anwar yang menyebabkan ia digelar “pluralis” sewaktu bercakap di London School of Economics suatu ketika dulu. Dia juga yang mengambil sikap terbuka mengenai isu pemurtadan di DUMC, 3 Ogos 2011 yang menyebabkan Dr Hasan Ali semacam dipinggirkan dari memainkan peranan dan Anwar dikatakan berada di belakang penyokong gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) kerana kenyataannya tidak jelas.

Dia dikatakan mempunyai ramai kawan seperti Al Gore, Camdessus, George Soros, Paul Wolfowitz, Shaha Ali Reza (teman wanita Wolfowitz), Martin Indyk (bekas Duta AS ke Israel), Michael Danby (MP Australia yang pro-Israel), James Wolfensohn (bekas Presiden Bank Dunia), William Cohen (bekas Setiausaha Pertahanan AS) dan ramai lagi. Apakah Dr Badrul tidak pernah mengetahui ini semua. Kasihan!

Ia ditimbulkan kerana Anwar Ibrahim dikatakan boleh menyatukan umat Arab dan membebaskan Masjidil Aqsa. Bagaimana ini boleh berlaku sekiranya NGO “pelik” dari negara luar amat rapat hubungannya dengan Anwar.

Kawan-kawan Anwar dari International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan sebahagian kenalan Arabnya dalam Ikhwan Muslimin mungkin tidak tahu isu setempat yang sedang dilalui oleh Anwar termasuk grup al Barakah dari Bahrain. Malah seperti orang lain pun, mereka tidak percaya. Yang berlaku ialah konspirasi dan tuduhan silih berganti terhadapnya adalah dicipta. Memang benar terdapat daya taksub yang tinggi di kalangan sesetengah pihak termasuk yang terjadi kepada Dr Badrul. Tetapi sudah semakin ramai orang luar negara mengetahui cerita sebenarnya.

Untuk menjadi “Pemimpin yang ditunggu” membawa risalah mulia mesti memiliki integriti yang tinggi. Apalagi kalau ingin membawa risalah Islam sebagai faktor penyelesai kemelut umat. Di Malaysia, Anwar sedang menghadapi masalah integriti yang serius.

Kenyataan Lee Kuan Yew dalam Wikileaks suatu ketika dulu terhadapnya, tidak diberi respons dan ia serius. Salah satu bab biografi Tun Dr Mahathir Mohamad mengaitkan Anwar dengan kisah yang amat memalukan adalah suatu kes yang serius juga. Video seks Datuk Eskay Abdullah yang dikaitkan dengan dirinya adalah lebih serius lagi. Mengapa Anwar tidak mengambil tindakan menyaman dan membersihkan diri dalam tuduhan ini. Apakah Dr Badrul mengikuti semua ini dan tuduhan-tuduhan yang lain.

Dr Badrul tidak boleh mengambil sikap semuanya ini adalah palsu, direka oleh musuh dan suatu siri konspirasi menjatuhkan Anwar dan menghalangnya untuk sampai ke Putrajaya. Anwar pernah memberitahu kawan-kawan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dulu iaitu sebagai pemimpin kita kena bersih dan kelihatan bersih. Dr Badrul sebagai bekas pemimpin ABIM tentu pernah dengar ini.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...