Jika Anwar terpenjara, Husam pengganti?


Dalam satu tinjauan blog, Husam memperolehi undian tertinggi dengan 796 undian atau 35 peratus meninggalkan lima calon lain di belakang beliau.

(Free Malaysia Today) – Ketika kita menghampiri hari keputusan perbicaraan kes liwat 2 yang bukan sahaja melibatkan masa depan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, semakin banyak telahan siapakah pemimpin yang paling layak mengepalai Pakatan Rakyat sekiranya beliau dipenjarakan nanti.

Rata-rata tentunya bersetuju, keputusan mahkamah itu nanti dianggap akan mempengaruhi masa hadapan Pakatan termasuklah dalam isu menentukan siapakah bakal PM pertama Pakatan sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13)  nanti.

Selain isu bakal PM Pakatan, juga penting untuk dicongakkan, siapakah yang paling mampu menjana kebangkitan Pakatan sekiranya sekali lagi mereka tertewas dalam PRU-13 nanti.

Bagi pengunjung blog milik pengamal media popular, Mohd Sayuti Omar, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa dianggap sebagai calon popular untuk menerajui Pakatan sekiranya ketua pembangkang itu didapati bersalah dan dipenjarakan.

Sekurang-kurang demikianlah menurut keputusan undian yang melibatkan seramai 2,246 pengunjung blog Merah Tinta MSO sehingga hari ini.

Dalam tinjauan tersebut, Husam memperolehi undian tertinggi dengan 796 undian atau 35 peratus meninggalkan lima calon lain di belakang beliau.

Usia beliau yang dianggap masih muda dan majoriti pengunjung blog terbabit yang dipercayai di kalangan penyokong PAS mungkin boleh dianggap sebagai faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.

Hadi di belakang Husam

Agak menarik juga untuk diperhatikan, Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang sendiri turut berada di belakang Husam dengan 521 undian atau 23 peratus.

Di percayai sikap Hadi ketika berhadapan dengan isu Kerajaan Perpaduan sedikit masa dahulu telah mempengaruhi keputusan undian tersebut.

Selain itu, keputusan tersebut juga boleh dianggap sebagai ukuran akan kepercayaan pengunjung blog terbabit terhadap keupayaan Hadi untuk memimpin Pakatan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...