Jadikan alam yang luas terbentang ini sebagai GURU
ASPAN ALIAS
Anwar Ibrahim tidak di dapati bersalah oleh mahkamah. Anwar Ibrahim sekarang bebas untuk terus berpolitik dan keputusan mahkamah tinggi hari ini amat menggembirakan penyokong-penyokong beliau. Pembebasan Anwar ini memberikan banyak implikasi terhadap landskap dan hala tuju politik negara dan penggiat politik tanah air. Ini di sebabkan terlalu banyak ‘hakim-hakim jalanan’ selama ini yang telah memutuskan Anwar bersalah dan akan di persorok dalam penjara.
Keputusan mahkamah hari ini banyak memberikan pelajaran kepada banyak pihak terutamanya kepada mereka yang selama ini telah mendahului hakim mahkamah tinggi Kuala Lumpur. Kes ini telah dibicarakan selama lebih dari dua tahun dan dalam proses perbicaraan itu begitu ramai hakim-hakim jalanan yang memberikan ‘verdict’ yang Anwar akan di dapati bersalah dan akan dipenjarakan.
Kebanyakan dari ‘hakim-hakim jalanan’ ini adalah orang politik yang tidak mahu Anwar selamat dan berusaha untuk mempastikan Anwar lenyap dari senario politik negara ini. Tetapi hakim yang mutlak ialah Tuhan semesta alam yang akhirnya menggerakan hakim mahkamah tinggi untuk memberikan ‘verdict’ yang Anwar di dapati tidak bersalah.
Dalam isu ini kita patut menerimanya sebagai pelajaran yang pihak-pihak yang menghina itu sebenarnya telah melakukan ‘favor’ yang besar kepada Anwar sendiri. Kita semua beragama dan bertuhan dan wajar kita percaya yang sesiapa yan menghina seseorang umat tuhan itu dengan keterlaluan itu adalah tindakan membersihkan dosa orang yang di hina mereka itu. Jika Tuhan berkehendak ianya akan berlaku.
Saya telah di belasah dan di kata dengan bermacam-macam kerana menutup mulut dan tidak mahu bersama mereka untuk membelasah seseorang yang sedang dihakimi di mahkamah tinggi. Saya tidak mahu melakukannya kerana kes ini masih di mahkamah dan adalah tidak betul dari segi moral dan undang-undang untuk menyentuh isu itu. Tetapi oleh kerana ramai yang bersikap ‘lebih sudu dari kuah’ maka keadaan itu tidak terkawal. Tidak ada kata-kata hina yang tidak dilepaskan kepada Anwar.
Inilah sebabnya yang membuatkan UMNO itu semakain hari semakin tidak menyakinkan ialah kerana ramai di antara pemimpin-pemimpinnya tidak menunjukkan yang mereka ini adalah dari gulungan yang menggunakan fikiran dalam kehidupan politik seharian mereka. Tugas mereka hanya untuk membunuh dan menghina pihak yang tidak di gemari mereka. Mereka hanya pandai menggunakan kaki untuk menyepak dan menerajang orang kebencian mereka dan tidak ada kemampuan untuk menggunakan akal fikiran yang di anugerah Allah itu.
Mereka tidak menggunakan pemikiran yang baik untuk mengendalikan isu-isu besar. Yang mereka tahu hanya membabikan orang lain dan berkata dengan perungkapan-perungkapan yang kotor yang tidak melambangkan mereka sebagai orang Melayu yang kaya dengan budaya dan adat agamanya. UMNO dan penyokongnya tidak memerhatikan perkembangan pemikiran rakyat yang sudah jauh meningkat sedangkan mereka (UMNO) masih kekal dengan pandangan lama yang semakin hari semakin tidak mendapat perhatian ramai itu.