PAS: Hasan dipecat kerana salah sendiri bukan sebab Anwar Ibrahim


(TMI) PAS menegaskan pemecatan keanggotaan Datuk Dr Hasan Ali sebagai ahli parti itu bukan berpunca daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kerana kesalahan sendiri.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata Anwar tiada kaitan dengan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat kelmarin.

“Banyak sebab lain dan untuk memecat keanggotaan ahli ia melibatkan barisan kepimpinan parti dan langkah ini diambil disebabkan tindakan-tindakan yang dianggap merugikan parti.

“Keahlian boleh dipecat jika melakukan tindakan merugikan parti… Anwar tiada kena mengena dalam membuat keputusan dan ia tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana keputusan ini dibincangkan dan dicapai secara bersama,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan exco kerajaan negeri telah dipecat keanggotaan berkuatkuasa serta-merta kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan dasar parti.

Tindakan memecat Hasan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian sebagai ahli PAS.

Hasan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dan exco kerajaan negeri Selangor sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan yang “menongkah arus”.

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-hasan-dipecat-kerana-salah-sendiri-bukan-sebab-anwar-ibrahim/



Comments
Loading...