Elok cari cara lain untuk memilih seorang Perdana Menteri
ASPAN ALIAS
Sistem pemilihan pemimpin khususnya Perdana Menteri yang ada pada hari ini mungkin penyebab kepada keadaan celaru yang kita sedang hadapi sekarang. Oleh kerana Perdana Menteri di pilih dari pemimpin utama UMNO maka pada hakikatnya seorang Perdana Menteri di pilih oleh lebih kurang 4000 orang perwakilan Melayu UMNO sahaja. Ia bermakna Perdana Menteri Malaysia itu di tentukan oleh 4000 orang perwakilan UMNO dan orang lain tidak ada kuasa untuk menentukan Perdana Menteri.
Kalau dahulu sistem ini merupakan sistem yang baik tetapi oleh kerana sikap tidak bertanggungjawab pemimpin yang di pilih oleh 4000 orang perwakilannya ia sudah menjadi penyebab utama kepada kecelaruan yang kita sedang hadapi sekarang ini. Empat ribu orang perwakilan ini sebenarnya amat penting kerana merekalah yang menentukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Orang Melayu sendiri tidak boleh memilih siapa Perdana Menteri. Hanya perwakilan yang di berikan mandat oleh ahli-ahli UMNO untuk menentukan siapa Presiden UMNO dan secara konvensyennya seterusnya menjadi Perdana Menteri negara.
Oleh kerana sistem perwakilan inilah yang membuatkan menjadi perwakilan itu sebagai modal perniagaan. Menjadi perwakilan merupakan perniagaan yang sekejap tetapi memberikan pulangan yang besar kerana perwakilan boleh ‘dibeli’ undi-undi mereka dengan harga yang lumayan oleh mereka yang sanggup membayar harga itu semata-mata untuk duduk di kalangan pemimpin-pemimpin tertinggi parti.
Budaya ini sudah menjadi budaya yang menjadi penyebab kepada keruntuhan nilai politik Melayu selama sejak lebih dari dua dekad yang lalu. Kebanyakan pemimpin apabila terpilih menduduki Majlis Tertinggi itu menjadi keliru. Mereka tidak tahu samada mereka yang duduk dalam Majlis Tertinggi itu ada kah oleh kerana kepimpinan mereka atau oleh wang ringgit yang mereka taburkan semasa siri kempen pemilihan parti itu.
Apa-apa yang di beli itu tidak tahan lama. Apabila kita selalu sangat memakan makanan yang di beli dari luar akhirnya kita akan merasa jemu dan balik memasak di rumah untuk mendapatkan kelainan rasa makanan itu. Kata ramai yang mahir dalam isu permakanan, sesiapa yang memakan makan yang di beli dari luar terus-terusan kesihatan tubuh kita akan luntur dalam jangka masa panjang.