Ezam: Pakatan Rakyat patut menawan Putrajaya pada 2008


“Impak Dr Mahathir lebih besar daripada Anwar. Dr Mahathir menggalakkan rakyat ketika itu untuk mengundi parti selain daripada Umno.”

(Free Malaysia Today) – Pakatan Rakyat sepatutnya menawan Putrajaya dalam 2008, kata bekas Ketua AMK, Senator Ezam Mohd Nor.

Beliau berkata satu faktor yang membolehkan Pakatan Rakyat menang besar ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menentang Umno dalam pilihan raya umum 2008.

Katanya, Dr Mahathir menjadi pengkritik utama pentadbiran Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Impak Dr Mahathir lebih besar daripada Anwar. Dr Mahathir menggalakkan rakyat ketika itu untuk mengundi parti selain daripada Umno.

“Sekiranya benar Pakatan Rakyat boleh, mereka patut berjaya menawan Putrajaya dalam tahun 2008,” kata Ezam.

Di dalam PRU 12, BN kehilangan majoriti dua per tiga kerusi parlimen dan lima buah kerajaan negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Selangor.

Bagaimanapun, pada pilihan umum ke 13 nanti, Ezam yakin prestasi Umno dan BN dalam PRU ke 13 akan lebih  baik berbanding 2008.

“Umno takkan mencapai keputusan yang lebih teruk berbanding yang lepas dan Pakatan juga takkan mencapai keputusan yang lebih baik berbanding 2008,” kata beliau dalam satu temuramah eksklusif dengan FMT.

`Ahli biasa Umno’

Sementara itu Ezam menolak ura-ura bahawa beliau berhasrat menerajui kerajaan Selangor sekiranya BN menang.
Sebelum ini terdapat ura-ura bahawa Ezam, bekas Menteri Besar Dr Mohd Khir Toyo dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

Datuk Noh Omar merangkap timbalan ketua perhubungan Umno Selangor disenarai pendek sebagai calon untuk mengetuai kerajaan negeri itu.

“Saya hanya ahli biasa Umno sahaja. Saya juga tidak berhasrat bertanding.

“Sekiranya dicalonkan oleh parti atau Perdana Menteri saya akan menolak,” kata beliau yang kini berpuas hati dengan peranannya sebagai senator.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...