Dua graduan UiTM sertai DAP
ROKETKINI.COM
Dua graduan muda jurusan undang-undang daripada UiTM yang berminat dengan politik telah memilih untuk menyertai DAP. Mereka adalah Fairuz Azhan Amirruddin dan Dyana Sofya Mohd Daud.
Fairuz Azhan, 25, merupakan seorang penulis manakala Dyana Sofya, 24, seorang peguam.
Penyertaan mereka dilihat sebagai keseinambungan populariti parti tersebut di kalangan profesional Melayu yang semakin meningkat.
Kedua-dua mereka telah diperkenalkan dalam satu sidang media di ibu pejabat DAP Perak di sini hari ini.
Dalam sidang media itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang mengalu-alukan penyertaan Fairuz dan Dyana berkata, kemasukan mereka ke dalam DAP mengingatkan beliau kenangan manisnya menceburi bidang politik 46 tahun yang lalu.
Katanya beliau dapat merasakan idealisme, semangat cintakan negara dan sayangkan rakyat di kalangan golongan muda yang mahu membuat apa yang mampu bagi menambah baik negara tercinta ini.
Menurutnya DAP jelas dari dulu sampai sekarang merupakan parti untuk semua kaum, malah di Perak sahaja, DAP pernah mempunyai lima wakil rakyat Melayu.
“Jadi amat tidak logik jika DAP dituduh sebagai parti anti-Raja mahu pun anti-Melayu. Jika tidak, parti ini tidak mungkin wujud hari ini kerana parti DAP sudah pasti akan diharamkan jika mempunyai matlamat tersebut.
“UMNO bertanya siapa nak membela orang Melayu, Islam, dan Raja Melayu jika UMNO kalah dalam pilihan raya? Dan kemungkinan besar itu akan berlaku, maka kita menjawab bahawa DAP dan Pakatan Rakyatlah yang akan membela dan mempertahankan orang Melayu, agama Islam, dan kedudukan Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata dasar bersama Pakatan Rakyat jelas mempertahankan keluhuran Perlembagaan.
Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham pula berkata ramai orang Melayu telah menyertai DAP sejak penubuhannya dan banyak pula yang memegang jawatan penting dalam parti serta diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya.
“DAP tidak pernah diskriminasi terhadap orang Melayu. Ia adalah sebuah parti yang berbilang bangsa yang terbuka untuk semua orang. Ia berusaha ke arah sebuah sistem demokrasi sosial, dan parti demokrasi sosial ini tidak pernah menjadi parti cauvinis Cina mahu pun parti komunis seperti yang sering difitnah oleh UMNO.”
“Kita memang menjangkakan serangan daripada UMNO yang akan mengatakan bahawa DAP sedang melatih orang Melayu kononnya untuk menjadi Menteri Besar di pelbagai negeri.
“Namun hari ini saya ingin sekali lagi menegaskan terutamanya bagi rakyat Perak bahawa DAP tidak mempunyai cita-cita tersebut, dan jika cerita tersebut keluar, ia hanya lagi satu fitnah daripada Barisan Nasional. DAP menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Nizar (daripada PAS) sebagai Menteri Besar untuk Perak,” katanya.