Nak tengok Bersih, Cekap dan Amanah?….ada di Pulau Pinang


ASPAN ALIAS

Ada sesuatu perkara yang saya mesti kongsi dengan rakan-rakan yang mengikuti blog saya. Sejak saya menyertai parti berbagai kaum DAP baru-baru ini, saya telah mendapat kutukan dari beberapa orang termasuk seorang dua rakan blog saya yang saya kenali, dan itu memang telah saya jangkakan dari awal lagi.

Tetapi sebagai empunyai blog kecil ini saya telah mendapat lebih galakan dari yang mengkritik saya. Yang mengkritik saya itu pun adalah kebanyakannya dari mereka yang masih baru dalam UMNO itu atau hanya sebagai penyokong pemimpin dan ‘warlords’ dalam parti itu. Yang mengatakan saya seorang yang bangkerap politik itu merupakan budak hingusan belum merasakan pengalaman bergiat di dalam UMNO itu.

Tetapi yang paling saya seronok ialah sokongan dari orang-orang biasa dan menzahirkan sokongan mereka melalu ribuan teks pesanan ringkas (SMS) yang datang bertalu-talu serta sokongan melalui e-mail dan sebagainya. Sembilan puluh peratus yang memberikan sokongan itu adalah dari kaum Melayu yang saya kenali dan yang saya tidak pernah mengenali mereka.

Apa yang saya seronokkan bukannya kerana saya mendapat sokongan secara peribadi, tetapi kerana mereka sudah faham sebenarnya yang DAP itu bukanlah seperti yang dimomokan oleh UMNO dan media masa perdana sejak berdekad-dekad dahulu. Saya merasa sedikit bangga kerana mampu membuatkan mereka menilai secara ilmiah yang mendalam serta sudah mengetahui yang parti DAP ini telah secara deras mendapat sokongan orang Melayu akhir-akhir ini.

Sebagaimana yang saya sebutkan di dalam posting saya yang lalu, saya adalah penyokong kuat kepada slogan Bersih, Cekap dan Amanah yang di popularkan oleh Dr Mahathir. Tetapi apabila setelah beliau menerajui negara lebih dari dua dekad, saya tidak nampak di mana bersihnya pentadbiran beliau. Saya tidak nampak kecekapan pentadbiran kerajaan kita dan amanahnya memang jauh sekali dari penglihatan kita.

Malahan dalam pentadbiran beliaulah bermulanya isu-isu rasuah yang besar dan tidak ada bersihnya. Melalui projek raksaksa runding terus itu telah mengembangkan budaya rasuah yang besar malahan ahli keluarga beliau sama-sama menggunakan kedudukan beliau untuk mengumpul kekayaan. Malahan kecekapan pentadbiran terdahulu itu bertambah lemah dengan isu-isu yang buruk yang tidak pernah kita lihat telah berlaku. Keseluruhan jentera kerajaan tidak beramanah.

Pendeknya Bersih, Cekap dan Amanah itu hanyalah retorik besar yang di ungkapkan semasa Perhimpunan Agong UMNO sahaja guna untuk membuatkan perwakilan bertepuk tangan sehingga merah-merah tapak tangan. Dr Mahathir bijak memainkan sentimen orang UMNO kerana beliau amat faham kelemahan yang ada pada kebanyakkan orang Melayu yang mudah terlena dengan alunan lagu yang berlirik indah dan mengkagumkan.

Tetapi sebahagian rakyat di negara ini telah mendapatkan nikmat dari slogan itu akhir-akhir ini. Kerajaan PR yang di tunjangi oleh DAP telah berjaya melaksanakan slogan Bersih, Cekap dan Amanah anjuran Dr Mahathir itu. Walaupun kerajaan tunjangan DAP itu baru menghampiri empat tahun sahaja, banyak dari apa yang dimaksudkan oleh slogan Bersih, Cekap dan Amanah itu telah dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.

DAP tidak pandai untuk mewujudkan retorik dan slogan besar, tetapi parti ini pandai untuk mencapai matlamat kepimpinannya; iaitu pentadbiran yang Bersih, Cekap dan Beramanah.

Bersih, Cekap dan Amanah yang di wujudkan oleh Dr Mahathir ini, di amalkan oleh DAP kerana DAP mengikut formulanya dengan betul. Seperti kita menjawab soalan ilmu hisab, kita mesti mengikut formula ilmu hisab itu. Jika kita hanya menghafal formula tersebut tetapi tidak mengikut formulanya dengan terperinci, kita tidak akan mendapat jawapannya dengan betul dan tepat.

Itulah sebabnya UMNO tidak berjaya mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan penting dengan betul kerana tidak mengikut formula yang mereka wujudkan sendiri itu. Dalam formula Bersih, Cekap dan Amanah itu tidak ada terselit elemen rasuah dan salahguna kuasa.

Tetapi apabila perlaksanaannya formula ini telah dikotori oleh rasuah dan salahguna kuasa itu, maka slogan BCA itu telah gagal sama sekali, malah wujud pula elemen-elemen negatif yang melumpuhkan negara dan pentadbirannya dengan rasuah yang begitu besar dan menakutkan rakyat. Maka slogan BCA itu hanya tinggal slogan dan telah pun dilupakan dan tidak hidup lagi dalam pentadbiran negara di bawah UMNO ini.

Rupa-rupanya slogan itu tidak mati. Ia masih hidup segar. Rupa-rupanya DAP P Pinang dan PKR Selangor dan kerajaan-kerajaan pimpinan PR telah berjaya melaksanakannya dengan baik dan penuh dengan ketelusan. Perlaksanaannya tidak diheboh dan di gembar gemburkan. Dalam diam-diam DAP P Pinang bersama rakan-rakan PRnya telah melaksanakan segala-gala yang di impikan oleh rakyat melalui slogan Bersih, Cekap dan Amanah itu.

Sekarang kita lihat yang fitnah serta momokan terhadap parti DAP yang ‘multi-racial’ ini ternyata kian menumpul. Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama dalam Malaysia yang akan bebas dari miskin tegar di kalangan rakyatnya dalam setahun dua lagi. Adalah dijangkakan yang Pulau Pinang akan merupakan negeri yang pertama dalam mana apa yang dikatakan sebagai perpaduan berbilang kaum itu akan tercapai dengan sepenuhnya.

Pulau Pinang juga merupakan sebuah negeri yang akan melupuskan segala hutangnya kepada Kerajaan Pusat. Dari RM630 juta hutang Kerajaan BN Pulau Pinang dahulu, Kerajaan PR P Pinang telah mengembalikan sebanyak RM600 juta kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 3 tahun pentadbirannya. Kejayaan ini bukannya kejayaan yang kecil tetapi ia merupakan satu pencapaian yang ‘outstanding’ jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia ini.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...