Mahal sungguh nak ‘maintain’ UMNO ini


ASPAN ALIAS

Masalah yang dihadapi oleh parti pemerintah sekarang ini ialah perpecahan dalaman yang berlaku dari atas sehingga ke bawah. Perpecahan yang sangat serius ini bukan kepalang besarnya. Beberapa minggu lalu di Shah Alam Dr Mahathir telah menyeru ahli-ahli UMNO supaya menyokong calon UMNO walaupun yang diturunkan oleh parti itu bukannya seorang ahli UMNO.

Seruan Dr Mahathir ini sangat besar maknanya kepada seseorang yang berpolitik Ia bermakna UMNO memang sedang berada didalam keadaan tenat sehinggakan ada tempat-tempat dan kawasan yang tidak ada seorang pun ahli UMNO yang layak untuk diturunkan sebagai calon yang mendapat sokongan yang menyeluruh.

Dr Mahathir pula nampaknya sudah berubah lagi. Kali ini beliau menyokong parti, tidak seperti dalam PRU yang lalu di mana beliau meyokong calon dan tidak parti. Tetapi itu adalah tindakan yang tidak mengejutkan ramai sebab Mahathir adalah seorang yang sentiasa ‘flip-flop’ dalam perjuangan beliau.

Jadi benarlah pandangan saya selama ini yang UMNO memang tidak ada kepimpinan di kalangan ahli-ahlinya. Jika seorang pemimpin yang digelar sebagai negarawan oleh penyokong-penyokong setianya itu, boleh menzahirkan kata-kata seruan seperti itu maka sah UMNO memang sedang menghadapi masalah yang bertindih-tindih yang tidak dapat diselesaikan walaupun PRU akan diadakan tidak lama lagi.

Malah semalam saya terdengar Muhyiddin Yassin sedang berbincang dengan J/K disiplin parti untuk mencari jalan bagaimana hendak mengelakan ahli-ahli parti tidak melakukan sabotaj terhadap calon UMNO dalam pilihanraya yang akan datang ini. PRU kali ini amat sengit yang bakal dihadapi oleh UMNO dalam sejarahnya kewujudannya.

Dalam satu dua isu ini, kita boleh memahami dengan jelas yang UMNO sebenarnya tidak ada masa untuk menyaingi PR kerana masalah dalam parti pemerintah itu masih terlalu besar untuk diatasi dengan sebaik-baiknya. Bagi saya, bagi UMNO untuk mnyelesaikan isu dalamannya parti itu memang sewajarnya berehat dari memerintah negara. Apabila sudah dapat cari formula yang baik barulah kembali menawarkan diri dalam pilihanraya yang berikutnya nanti.

Keadaan akan sampai keperingkat lebih teruk lagi apabila sampai waktu nama calon-calon diumumkan oleh pucuk pimpinan. Apabila diumumkan sahaja nama-nama calon itu nanti maka akan bermulalah perpecahan dan sabotaj dikalangan ahli-ahli dan pemimpin yang tidak berpuas hati terhadap calon yang diturunkan. Tidak ada calon yang tidak akan disabotaj oleh pihak yang tidak berpuas hati itu.

Masalah isu ditokok tambah pula dengan kekosongan pimpinan yang akan menjadi pemimpin yang akan menjadi Menteri Besar di sebabkan kekurangan peribadi yang layak untuk menerajui kerajaan-kerajaan negeri bagi BN. Di Selangor contohnya tidak ada nama yang sesuai untuk dijadikan Menteri Besar di negeri itu dan jika ada pun mungkin seorang yang akan diturunkan secara ‘parachute’ dari atas dan mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir supaya ahli-ahli UMNO menerima sahaja sesiapa yang diturunkan oleh parti walaupun mereka itu bukan ahli UMNO.

Sebenarnya perkara ini telah berlaku dalam PRU ke 12 yang lalu dimana lebih dari 1.3 juta ahli-ahli UMNO telah bertindak menyokong pembangkang. Tetapi dengan keadaan lebih buruk di zaman pentadbiran Najib ini prestasi UMNO dijangka berada di dalam keadaan yang lebih tenat. Keadaan ini ditambah pula dengan perasaan kecil hati ahli-ahli dan pemimpin UMNO di bahagian kerana menurunkan calon-calon yang datang dari entah mana.

Maka UMNO akan menghadapi masalah yang lebih besar kali ini…..masalah yang tidak pernah dialami oleh UMNO sejak penubuhannya pada Februari 1988 yang lalu. Berbagai-bagai kaedah dilakukan oleh UMNO khususnya oleh Najib, Presidennya, akhir-akhir ini.

Tindakan Najib membeli sokongan rakyat melalui pengagihan wang RM500 itu sebenarnya tidak membantu UMNO. Malahan ia memberi kesan negatif dikebanyakkan tempat. Saya merasakan sangat sedih apabila kita melihat ribuan yang beratur panjang itu adalah dari kaum Melayu dan hanya segelintir bangsa bukan Melayu yang beratur. Ia menunjukkan indikasi yang ‘desperate’ adalah orang Melayu.

Sekaligus menunjukkan kegagalan UMNO untuk menjayakan kehidupan orang Melayu. Laungan puluhan tahun untuk meningkatkan kehidupan orang Melayu hanyalah lagu yang sudah begitu lama yang begitu jauh dari mendekati kejayaan. Inilah caranya UMNO mendapatkan sokongan terus-terusan dengan membiarkan Melayu yang ramai ini berada di dalam pengharapan sentiasa dan waktu inilah UMNO cuba untuk mendapatkan semula kuasa dengan membayar ratus-ratusan ringgit sahaja.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...