PAS jangan terkilan MB jaga Islam


Khalid dan Anwar tahu bahawa kemenangan Pakatan di Selangor dan di seluruh negara antaranya adalah atas penyertaan padu dan kekuatan PAS. Jika diketepikan PAS, maka rugi besarlah Pakatan. Tidak sampailah ia ke Putrajaya. Jangan fikir Anwar dan Khalid begitu lemah untuk memahami suasana politik di negara ini.

Subky Latif, Harakah Daily

SAYA tidak fikir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ada agenda sendiri apabila beliau mengambil portfolia Agama Islam dan tidak mengambil Dr. Rani sebagai Exco baru sedang Dr. Rani adalah ketua PAS Selangor.

Saya fikir Khalid dan keduanya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengenepikan PAS dan ketuanya dalam membuat keputusan itu. Bodohlah Khalid jika dia tidak berbincang dengan Dr. Rani dan PAS sebelum keputusan itu dibuat. Dan saya percaya MB Selangor itu sudah ada maklum balas dari pimpinan PAS apabila keputusan itu dibuat.

Jangan ditanya mengapa Dr. Rani tidak jadi Exco baru. Biarkan ia menjadi rahsia antara Khalid dan Dr. Rani dan antara Anwar dan Ustaz Hadi.

Memandangkan Khalid adalah ahli tadbir yang cekap dan tempoh pilihan raya umum adalah dekat, maka dia tahu banyak tentangan pentadbiran agama yang tidak jelas apa yang telah dibuat sejak tahun 2008 dulu.

Dengan kuasanya sebagai ketua kerajaan dan kecekepannya sebagai pentadbir, dia tuntu dapat imbangan apa yang tidak dapat dibuat dulu dengan apa yang patut dibuat dalam waktu singkat nanti.

Dalam waktu yang singkat ini Dr. Rani sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor perlukan penuh masa dan tenaga untuk menggembleng tenaga bagi membangun tenaga dan semangat PAS penghadapi pilihan raya. Dia mesti buat apa yang tidak dibuat dulu.

Tidak sempat dan tidak cukup tenaganya untuk membuat dua kerja penting dalam masa kurang dari setahun atau sekadar beberapa bulan lagi saja bagi meletakkan PAS yang tempat yang terbaik.

PAS mesti capai keputusan lebih baik kali ini. Tetapi Dr. Rani cuma ada waktu yang singkat untuk memenuhinya. Kalau dia tidak dapat buat lebih baik dari tahun 2008, dia mesti jangan kurang dari pencapaian sekarang.

Saya percaya Dr. Rani dan Khalid Ibrahim telah berkongsi pengetahuan bagi memastikan Selangor dapat dipertahankan dengan keputusan yang lebih baik.

Khalid dan Anwar tahu bahawa kemenangan Pakatan di Selangor dan di seluruh negara antaranya adalah atas penyertaan padu dan kekuatan PAS. Jika diketepikan PAS, maka rugi besarlah Pakatan. Tidak sampailah ia ke Putrajaya.

Jangan fikir Anwar dan Khalid begitu lemah untuk memahami suasana politik di negara ini.

Cuma bagi Dr. Yunus yang diberi tanggungjawab atas Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan dalam waktu yang singkat sekarang berdepat dengan cabaran untuk menyuntik cara bekerja dan berfikiran Islam dalam pentadbiran.

Bagaimana adat Melayu itu dapat menjadi adat Islam supaya semua adat itu sesuai dengan kemahuan ibadat? Jangan lagi adat itu terus bersalut dengan kerja tahyul, kurafat dan gejala jahiliyah.

Dr. Yunus diberikan satu corak belia yang diketahui sedang dilanda oleh gejala dan gelombang keruntukan akhlak. Belum lagi dasar belia nasional dapat menangani isu keruntukan akhlak itu. Dr. Yunus diberi satu tanggungjawab besar bagi menyelesaikan masalah di negerinya sedang ia tidak dapat dan belum dapat diselesaikan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Dr. Yunus diberi tanggungjawab itu bukan sekadar untuk menyusun dan mengadakan program belia bagi menjadikan belia ssebagai produk dinamik dalam pasaran buruh, tetapi adalah untuk menyuntik watak dan ruh Islam di kalangan belia. Bagaimana belia bukan Islam dapat dijinakkan dengan cara hidup dan berfikiran Islam?

Bagaimana ahli sukan dan belia Budha, Hindu dan Kristian boleh menyesuikan pegangan agamanya dengan cara hidup dan pemikian Islam mereka ada saksiah Malaysia yang tidak sama dengan belia di Vietnam, Thailand dan Myanmar tetapi tetap sebagai ahli sukan dan belia yang dinamik.

Kerja membudayakan Islam dalam alam dan masyarakat belia dan sukan adalah sama penting dengan mendinamikkan pentadbiran Islam di MUIS dan JAIS. Jangan fikir peranan Islam amat kecil di jabatan-jabatan yang dijaga oleh Dr. Yunus dan fungsi di Jabatan Agama.

Pahala seorang Exco yang menjadi berbagai portfolio yang dapat membawa cara bekerja Islam di tempat masing-masing adalah lebih ketara dari orang yang tidak dapat menjalankan kerja Islam di Majlis dan Jabatan Agama Islam. Belum tentu menghalang orang yang tahu agama bercakap di surau kerana tiada tauliah suatu yang berpahala.

Menyekat gejala murtad berpahala tetapi menyekat pendakwah tanpa tauliah belum tentu berpahala. Maka jangan fikir tempat Dr. Yunus sekarang bukan termasuk bidang penting bagi Islam. Yang penting di mana PAS dilempar, dia boleh bawa Islam itu.

 



Comments
Loading...