DAKWAAN ALUMNI YAYASAN SELANGOR MELESET


Yayasan Selangor

Dakwaan Alumni meleset kerana Yayasan Selangor (YS) tiada masaalah Aliran Kewangan, bahkan sebenarnya kedudukan kewangan YS semakin mantap berbanding pada tahun 2007 sebelum Pakatan Rakyat mengambilalih Kerajaan Negeri Selangor.

Simpanan tetap (fix deposit) YS sebenarnya telah meningkat daripada RM20 juta pada tahun 2007 kepada RM51 juta pada akhir tahun 2011. Seiring dengan itu juga, hasil daripada simpanan tetap juga telah meningkat daripada RM471,000.00 pada tahun 2007 kepada RM1.7 juta pada tahun 2011.

Ini adalah hasil daripada pendapatan sewaan bangunan yang juga jelas mengalami peningkatan daripada RM9.9 juta pada tahun 2007 kepada RM14.8 pada tahun 2011. Ini kerana pihak pengurusan YS telah mengkaji  dan menyelaraskan semula kadar sewaan yang terlalu rendah berbanding nilai pasaran semasa. Pendapatan JV terutama daripada tanah Pulau Carey juga meningkat daripada RM1 juta pada tahun 2007 kepada RM5 juta pada tahun 2011.

Dengan itu, YS telah berjaya meningkatkan pembiayaan pendidikan daripada RM11.9 juta pada tahun 2007 kepada RM15.3 juta pada tahun 2011. YS juga menambah sumbangan kepada NGO di Negeri Selangor yang menjalankan program pendidikan dan sekolah agama serta bantuan pelajar yatim-piatu daripada RM68,000.00 pada tahun 2007 kepada RM851,000.00 pada tahun 2011. Pembiayaan pinjaman pendidikan juga meningkat daripada RM2 juta (2007) kepada RM5 juta pada tahun 2011.

Dengan itu, YS mampu membiayai semua Asrama-asrama Pusat nya iaitu AYSSB, AYSK, AYSKL (ATDI & ATPN) selagi ada bulan dan matahari, Insya-Allah.

Tapak AYSKL (ATDI/ATPN) akan dimajukan kerana sebab-sebab berikut:

1.         Pelajar-pelajar di PJ menghabiskan banyak masa dalam perjalanan pergi/balik menaiki bas, pelajar keletihan dan tidak dapat memberikan tumpuan di sekolah mahupun semasa sesi ulangkaji di asrama.

2.         Pada kebanyakan masa, disebab kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur, para pelajar hanya akan sampai semula ke asrama pada jam 8.30 malam dan terlepas solat maghrib.

3.         Bangunan keliling telah dan sedang diroboh dan akan dibangunkan sehingga menyebabkan keadaan persekitaran tidak lagi kondusif untuk di diami dan pembelajaran.

4.         Aset YS di Kg. Pandan akan dimajukan untuk menambah dana bagi membiaya lebih ramai pelajar yang layak dan memerlukan bantuan, selari dengan usaha YS membanyakkan Asrama Harian, Asrama Daerah dan mengecilkan Asrama Pusat.

5.         Kos bagi menampung seorang pelajar di Asrama Pusat boleh membiayai 10 orang di Asrama Harian/Daerah.

6.         Pelajar-pelajar yang berpindah adalah dengan persetujuan rasmi ibu bapa setelah dibuat penyelidikan yang teliti dan mengambilkira pandangan semua ibu bapa, di mana ibu bapa diberi pilihan sama ada hendak mengekalkan anak mereka di Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL) atau berpindah ke Asrama Daerah atau berulang-alik dari rumah. Maklum-balas dan pandangan hasil soal-selidik tersebut dapat dirumuskan seperti berikut:

6.1     80 % bersetuju untuk sama ada berulang alik ke sekolah asal, bersekolah di    sekolah pilihan ataupun ditempatkan di sekolah/sekolah asrama harian/daerah terpilih.
 
6.2     20% bersetuju untuk kekal di Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur.
 
Semua pelajar masih diberikan kemudahan yang sama dan termasuk dalam Rancangan Khas Pelajaran Kementerian Pelajaran Malaysia-Yayasan Selangor yang dinikmati sebelum ini.

Kesemua pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM 2012 tidak dipindahkan. Pelajar-pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 4 boleh tinggal di AYSKL sehingga akhir tahun 2012. Seramai 170 orang pelajar ditempatkan di ATDI sahaja, di mana pelajar lelaki dan perempuan ditempatkan di blok yang berasingan.

YS akan terus mengembangkan konsep asrama daerah dengan penempatan pelajar di asrama harian sekolah. Hasil pengalaman YS mutakhir ini, konsep ini didapati amat berpotensi untuk memberikan kecemerlangan kepada pelajar berdasarkan rekod-rekod pencapaian pelajar dari tahun ke tahun. Contohnya, pada tahun 2011, keputusan PMR paling cemerlang dicatatkan oleh Asrama Daerah iaitu SMK Jalan Tiga Bangi, diikuti oleh SMK Kuala Kubu Bharu dan AYSSB. Tambahan pula konsep ini lebih menjimatkan kos, berbanding konsep asrama pusat seperti AYSKL.

Hasil penyusunan semula ini, YS kini mampu membiayai seramai 1,733 pelajar Tingkatan 1 hingga ke peringkat pra-universiti, 133 orang pelajar vokasional/kemahiran, 1,164 pelajar di peringkat diploma dan ijazah. Ini adalah merupakan satu rekod. Kita bertekad melipat-gandakan jumlah pembiayaan sehingga 5,000 orang pelajar, sejajar dengan pertambahan hasil pendapatan  daripada usaha memajukan tanah/aset miliknya yang sedang dan akan terus dijalankan. Insya-Allah.

Hasrat YS untuk menjana pendapatan sehingga RM300 juta dari pembangunan tanah Kg. Pandan seluas 7.5 ekar yang kini bernilai sekitar RM50 juta sama sekali tidak ada kena-mengena dengan masalah aliran tunai YS atau Kerajaan Negeri Selangor. 

Hasil daripada pendapatan RM300 juta itu akan digunakan sepenuhnya untuk merakyat pendidikan di Negeri Selangor supaya lebih ramai anak Selangor yang dapat menikmati kemudahan pembiayaan pendidikan.

Adalah dimaklumkan bahawa YS tidak menerima sebarang geran daripada Kerajaan Negeri Selangor, sebaliknya menjana pendapatan sendiri dengan membangunkan hartanah milik YS. Hasil daripada pendapatan tersebutlah disalurkan kepada pendidikan.

Sayugia diingatkan bahawa di bawah pemerintahan Barisan Nasional-UMNO dahulu 1990-an), tapak Balai Dato’ Harun di Kg. Baru, Kuala Lumpur seluas 13 ekar yang ketika itu bernilai RM50 juta telah dibangunkan menjadi Selborn City yang bernilai RM1.8 billion (Gross Development Value) hanya memberikan pulangan sebuah bangunan setinggi 18 tingkat yang cuma bernilai RM54 juta, sedangkan sepatutnya nilai pulangan kepada YS ialah 30% daripada nilai projek. YS telah kehilangan sebanyak RM300 juta kerana kebodohan dan ketamakan pihak yang berkepentingan!

Di bawah Barisan Nasional, YS telah memberikan “sewa pajak” tanah seluas 1.5 ekar tanah Kg Pandan kepada SHELL untuk operasi pam minyak iaitu status komersial pada tahun 2007. Jelas YS telah melanggar syarat gunapakai tanah institusi pendidikan sejak tahun 2007. Jika alumni boleh membantu, sila keluarkan mereka dari tapak sekarang untuk mengekalkan tapak Institusi dan bersedialah untuk membayar gantirugi kepada pihak SHELL.

Kenyataan akhbar alumni tentang asrama YS hanya merupakan retorik politik murahan yang jelas didalangi oleh parti pembangkang di Selangor, iaitu Barisan Nasional-UMNO yang sengaja menjadikan hal ini sebagai isu. Kehadiran beberapa orang pemimpin UMNO dan bekas Pengurus Besar YS di bawah kerajaan BN-UMNO dahulu adalah bukti nyata perkara ini sudah dipolitikkan dan diputar-belit untuk tujuan mengampu bos-bos mereka.

Adalah lebih bijak dan berfaedah jika pihak Alumni berganding bahu bersama Yayasan Selangor untuk memohon  dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan agar segera meluluskan permohonan membuka Asrama Harian di Petaling Jaya dan di SMK Victoria. Itu adalah  lebih baik dari menggigit tangan pihak yang pernah membantu anda dan membuat bising tanpa arah tujuan.

Seperti yang kita sedia maklum, pihak YS telah berulang-ulang kali memberikan penjelasan berkenaan perkara di atas kepada pelbagai pihak termasuk kepada Alumni dan ibu bapa, tetapi malangnya perkara ini umpama menjirus air ke daun keladi.

 



Comments
Loading...