Lembah Pantai tolak dakwaan Raja Petra, Nong Chik dalang NFC


“Isu NFC itu telah dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara,” kata bekas ketua Puteri.

(Free Malaysia Today) – Umno Lembah Pantai menyangkal bahawa ketua mereka, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjadi dalang memberi maklumat pusat fidlot kebangsaan (NFC) kepada pembangkang.

Dua bekas orang kuat Umno bahagian – Yusri Ahmad dan Zalina Abdul Halim – berkata, ahli parlimen Lembah Pantai sekarang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sudah terkeluar dari politik bahagian.

“Raja Nong Chik sudah memberi tahu bahawa beliau akan bertanding di Lembah Pantai. Beliau ketua bahagian,  menteri dan timbalan ketua Umno Wilayah Persekutuan, beliau paling layak bertanding.

“Seharusnya ketua bahagian yang menjadi pilihan bertanding,” kata Yusri, bekas ketua bahagian.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Raja Petra Kamaruddin bahawa Raja Nong Chik yang memberikan rahsia tersebut kepada PKR.

Pengendali laman berita Malaysia Today itu mendakwa Raja Nong Chik berbuat demikian kerana beliau mahu menyingkirkan Shahrizat  dari terus bertanding kerusi parlimen itu.

Raja Nong Chik mahu bertanding di kerusi parlimen tersebut, kata Raja Petra.

`Tidak percaya’

“Saya tidak percaya dengan dakwaan Raja Petra itu,” kata Yusri lagi.

Zalina yang pernah menjadi ketua Puteri menambah, tidak munasabah untuk Raja Nong Chik memberi maklumat kepada pembangkang mengenai NFC itu.

Katanya, menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu tentu tahu implikasi memberi maklumat dalaman Umno kepada pembangkang.

“Terlampau banyak implikasi kepada parti (Umno) jika orang dalam melakukannya,” tambah beliau.

“Isu NFC itu telah dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara.”

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...