Saya Hanya Mahukan Keadilan


Kamal Hisham Jaafar

Tindakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerbitkan iklan mencari saya untuk bantu siasatan pada 10 Feb 2012 di Utusan Malaysia adalah satu tindakan yang tidak profesional dan seolah-olah mempunyai niat buruk untuk menjatuhkan nama baik dan reputasi saya di hadapan umum.

Pada 01 Feb 2012 hampir semua akhbar tempatan telah menerbitkan bukti saya sangat mudah dihubungi secara terus atau menerusi peguam yang mewakili saya, firma saya mahupun ahli keluarga saya. Malah “Press Conference” pada 31 Jan 2012 saya ada berkomunikasi dengan para wartawan menerusi telefon.

SSM keluarkan iklan mencari saya untuk apa? Mungkin sebab didesak oleh orang kenamaan yang berpengaruh? Adakah SSM hanya mengikut telunjuk orang kenamaan atau orang suruhannya?

Peguam saya pada 20 Julai 2011 telah menghantar surat rasmi kepada SSM dan SSM pada 01 Ogos 2011 telah membalas surat peguam saya dan menyatakan segala butiran siasatan adalah sulit. Peguam saya kemudiannya pada 09 Ogos 2011 telah menghantar satu lagi surat kepada SSM mengatakan pihak yang sedang disiasat berhak mengetahui apakah siasatan yang dijalankan SSM agar saya boleh
membantu siasatan. Peguam saya juga mohon tarikh temujanji untuk berjumpa pihak SSM.

Pada 18 Julai 2011 peguam saya telah menghubungi pihak SSM memohon temujanji bertujuan memberi penjelasan tetapi menerima maklumbalas pada 09 Ogos 2011 bahawa permohonan peguam saya tidak dapat dipertimbangkan dengan alasan siasatan sedang dijalankan. Pada hari yang sama peguam saya sekali lagi membuat permohonan temujanji dengan SSM tapi tidak menerima sebarang
jawapan dari pihak SSM.

Peguam saya telah mencuba hubungi pihak SSM menerusi surat, panggilan telefon dan sms tapi tidak mendapat perhatian SSM. Kenapa sekarang SSM keluarkan iklan ini?

Saya telah membuat beberapa lapuran terhadap orang kenamaan ini tapi tidak mendapat perhatian dari pihak berkuasa, tetapi sebaliknya setiap arahan orang kenamaan ini diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa, adakah Negara ini sudah tidak amalkan “Natural Justice” lagi? Atau Malaysia hari ini di perintah oleh “Kuasa-Kuasa Besar Pihak Tertentu”?

Nampaknya orang kenamaan ini telah menggunakan kuasanya secara berleluasa. Orang kenamaan ini hanya mahu merobek maruah dan nama baik saya kerana saya tidak bersetuju dengan banyak tindakannya yang menyalahi hukum agama dan undang-undang Negara.

Atau mungkin sebab saya tahu banyak rahsia?



Comments
Loading...