Asri: Langkah hantar kolumnis Saudi pulang tepat


(The Malaysian Insider) – Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersetuju dengan langkah Putrajaya menghantar pulang kolumnis akhbar Arab Saudi Mohammad Najeeb A. Kashgari sekiranya terdapat perjanjian kerjasama antara Malaysia dan negara itu.

Justeru kata Asri, adalah lebih baik pentadbiran Najib mendedahkan maklumat perjanjian itu bagi mengelakkan sebarang polemik daripada terus berlaku.

“Memang patut Malaysia menghantar pulang sebab kita ada perjanjian dengan Arab Saudi tapi saya tidak tahu butirannya. Asasnya setiap negara ada perjanjian, kita perlu ikut bila berjanji walaupun kadang-kadang tidak memihak kepada kita.

“Kita memang bekerjasama dengan Arab Saudi, biasanya perjanjian itu kata kalau warga kita ditahan di sana Arab Saudi akan hantar pulang. Begitu juga sebaliknya,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mohammad Najeeb, atau Hamza Kashgari, yang melarikan diri dari Arab Saudi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu sebelum ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Hamza mencetuskan kontroversi selepas mengeluarkan satu kenyataan yang menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui Twitter, yang menyebabkan kemarahan rakyat negara itu.

Tambah Asri, beliau tetap bersetuju dengan langkah menghantar pulang Hamza walaupun tiada sebarang perjanjian yang dimeterai.

“Saya tidak pasti mengenai perjanjian kerjasama itu, kalau ada bukti (perjanjian) kita kena tunaikannya. Kalau tiada perjanjian saya juga setuju hantar balik,” katanya.

Beliau menambah Hamza tidak sepatutnya ke Malaysia untuk dijadikan tempat berlindung selepas mencetuskan kontroversi itu kerana ia boleh menjejaskan negara ini.

“Kalau menghina Nabi Muhammad itu perkara serius di Arab Saudi, tidak patut berlindung di negara Islam… tidak boleh jadikan Malaysia sebagai tempat berlindung kerana ia tidak bagus kepada negara kita.

“Langkah hantar balik adalah tindakan betul supaya Malaysia tidak ditohmah, perkara ini serius di Arab Saudi,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...