Yayasan Selangor : YB DS NOH OMAR UTAR-BELIT FAKTA!


Yayasan Selangor bersedia mendedahkan kepada umum kedudukan kewangan sebenar sejak tahun 2007 hingga 2011 untuk menyahut cabaran YB Dato’ Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor baru-baru ini.

Akaun YS memang di audit setiap tahun sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran di Selangor yang sentiasa telus dan bertanggungjawab.

Bidasan YB DS Noh Omar kononnya YS mengalami kerugian adalah tidak tepat dan berbaur “fitnah murahan”. YS mempunyai cukup dana untuk membiayai pendidikan pelajar miskin di Selangor. Bahkan kedudukan kewangan YS bertambah mantap sejak tahun 2008 hingga 2011, berbanding dengan tahun 2007 dan sebelumnya.
 
Simpanan tetap (fix deposit) YS sebenarnya telah meningkat daripada RM20 juta pada tahun 2007 kepada RM51 juta pada akhir tahun 2011. Seiring dengan itu juga, hasil daripada simpanan tetap juga telah meningkat daripada RM471,000.00 pada tahun 2007 kepada RM1.7 juta pada tahun 2011.

Haasil daripada pendapatan sewaan bangunan yang juga jelas mengalami peningkatan daripada RM9.9 juta pada tahun 2007 kepada RM14.8 juta pada tahun 2011. Ini kerana pihak pengurusan YS telah mengkaji  dan menyelaraskan semula kadar sewaan yang terlalu rendah berbanding nilai pasaran semasa. Pendapatan JV juga meningkat daripada RM1 juta pada tahun 2007 kepada RM5 juta, terutama hasil daripada sewaan tanah kelapa sawit Pulau Carey pada tahun 2011. Sewaan ladang kelapa sawit YS di Pulau Carey juga meningkat daripada sekitar RM100,000.00 sebulan tahun 2007 kepada RM360,000.00 bulan Februari 2012.

Dengan itu juga, YS telah berjaya meningkatkan pembiayaan pendidikan daripada RM11.9 juta pada tahun 2007 kepada RM15.3 juta pada tahun 2011. YS juga menambah sumbangan kepada NGO di Negeri Selangor yang menjalankan program pendidikan dan sekolah agama serta bantuan pelajar yatim-piatu daripada RM68,000.00 pada tahun 2007 kepada RM851,000.00 pada tahun 2011. Pembiayaan pinjaman pendidikan juga meningkat daripada RM2 juta (2007) kepada RM5 juta pada tahun 2011.

Dengan itu juga, YS mampu membiayai semua Asrama-asrama Pusat nya iaitu AYSSB, AYSK, AYSKL (ATDI & ATPN) selagi ada bulan dan matahari, Insya-Allah.
 
Apa yang sedang dilakukan kini adalah usaha membangunkan aset bagi menambahkan dana supaya lebih ramai pelajar miskin luar bandar dan miskin bandar yang dapat menikmati kemudahan pembiayaan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah.
 
YS kini berjaya menempatkan seramai 2,253 pelajar dalam Rancangan Khas Pendidikan Yayasan Selangor (RKPYS) yang kesemuanya diberikan biasiswa, berbanding hanya 714 pelajar pada tahun 2007 yang hanya sebahagian mendapat biasiswa kecil YS.
 
Sasaran YS adalah untuk meningkatkan pembiayaan pelajar sekolah rendah dan menengah daripada 2,253 pelajar (2012) kepada 5,000 pelajar pada tahun 2013. Dengan pendapatan yang bertambah, lebih ramai pelajar dan ibu bapa dapat menerima pembiayaan pelajaran daripada YS. Jumlah biasiswa juga ditambah daripada RM400.00 kepada RM700.00 dan RM1,000.00 setahun, bergantung kepada kelayakan.
 
Asrama di SMK Victoria (VI) kini hanya menempatkan 140 pelajar, sedangkan kapisiti asrama tersebut ialah 400 orang, maka YS kini sedang berunding dengan pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan untuk menambah kouta pelajar RKPYS seramai 260 pelajar dan menempatkan pelajar2 St John, Aminuddin Baki dan MBS.
 
Kenyataan YB Dato’ Seri Noh Omar tentang asrama di Kg. Pandan juga meleset sama sekali. Yayasan Selangor juga tetap mengambil pelajar tingkatan satu untuk bersekolah di SMK St. John, SMK Victoria, SMK Aminuddin Baki, SMK Methodist (MBS), SMK Convent Bukit Nanas dan lain-lain bagi pelajar miskin bandar yang berulang dari rumah, dan meningkatkan bilangan tajaan pelajar untuk ditempatkan di asrama daerah dan di sekolah berhampiran.
 
Sesungguhnya, keadaan asrama yang sudah usang dan terkepung oleh projek pembangunan tidak lagi sesuai untuk menempatkan pelajar, di samping perjalanan yang memakan masa akan membuatkan pelajar berasa letih dan mengantuk sehingga tidak dapat memberikan tumpuan terhadapat aktiviti pembelajaran pada sebelah malam.
 
Berbanding dengan Asrama Pusat di Kuala Lumpur, peningkatan pencapaian bagi pelajar yang mendapat keputusan 5A ke atas begitu ketara, terutama bagi pelajar di asrama sekolah-sekolah berikut:
 
1.    SMK Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi                            100.0%

2.    SMK Kuala Kubu Bharu                                              95.5%
3.    Asrama Yayasan Selangor Sabak Bernam                     91.4%
4.    SMK Tinggi Kajang                                                    90.9%
5.    SMK Telok Datok, Banting                                          90.9%
 
Manakala keputusan PMR pelajar Asrama Toh Puan Norashikin Kuala Lumpur   hanya  83.9% yang mendapat 5A ke atas.
 
Sebagai seorang menteri kabinet, YB Dato’ Seri Noh Omar sepatutnya faham bahawa keadaan dahulu dan sekarang amat jauh berbeza. Pelajar sekarang boleh bersaing di mana sahaja memandangkan sekolah kini sudah maju, dan guru-guru juga sudah semakin kompeten dan memiliki ijazah, berbanding 20 tahun lalu.  
 
Jika beliau menganggap hanya sekolah ternama sahaja yang membolehkan pelajar bersaing dan mampu mencapai keputusan cemerlang, ia seolah-olah menafikan keupayaan Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Pusat yang menjamin mutu pendidikan di sekolah luar bandar adalah setanding dengan sekolah di bandar melalui prgoram transformasi pendidikan dan pendemokrasian pendidikan yang diwar-warkan oleh YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan YAB Tan Sri Muhyiddin Hj. Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran.
 
Hasrat YS untuk menambah pendapatan bagi membolehkan lebih ramai pelajar miskin luar bandar dan miskin bandar digariskan oleh Kerajaan Negeri Selangor pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YS.
 
 


Comments
Loading...