Tajudin, Danaharta selesai saman RM589 juta luar mahkamah


(Berita Harian) – Bekas Pengerusi Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd mencapai penyelesaian luar mahkamah berkaitan saman difailkan enam tahun lalu membabitkan hutang RM589 juta tokoh korporat itu untuk membeli saham MAS.

Peguam Tajudin, Lim Kian Leong yang memaklumkan perkara itu kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, bagaimanapun tidak mendedahkan terma penyelesaian dan ia disahkan Tommy Thomas yang mewakili Danaharta.

Berikutan itu, Lim berkata, Tajudin berhasrat menarik balik semua rayuan terhadap Pengurusan Danaharta, dua anak syarikatnya serta 24 responden lain yang dinamakan dalam tuntutan balas beliau.

Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin yang mengetuai panel itu, kemudian memutuskan untuk membatalkan semua rayuan berkaitan.

Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin bagaimanapun memerintahkan Tajudin membayar RM15,000 kepada beberapa responden sebagai kos perundangan dan RM5,000 lagi kepada kerajaan Malaysia bagi prosiding di Mahkamah Rayuan.

Pengurusan Danaharta, Danaharta Urus Sdn Bhd dan Danaharta Managers Sdn Bhd serta pegawainya bagaimanapun tidak menuntut kos perunda-ngan.

Terdahulu, Lim memaklumkan panel itu Tajudin dan Danaharta berjaya mengatasi semua permasalahan yang dihadapi kedua-dua pihak berhu-bung terma penyelesaian.
Kelmarin, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Lim untuk menangguhkan prosiding sehingga semalam bagi membolehkan Tajudin dan Danaharta mencari penyelesaian berhubung ‘masalah kecil yang muncul pada saat-saat akhir’.

Berbekalkan semangat penyelesaian luar mahkamah yang dicapai semalam, Lim meminta semua pihak terbabit menanggung kos perundangan masing-masing bagi prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Kecuali Danaharta, responden lain tetap mahukan Tajudin membayar kos perundangan mereka.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tajudin membayar RM589 juta kepada Danaharta yang menguruskan pinjaman tidak berbayar akibat hutang ditanggung tokoh korporat itu dalam pembelian saham MAS.

Jumlah itu adalah baki pinjaman berjumlah RM1.79 bilion yang diberikan kepada Tajudin oleh sekumpulan peminjam bagi membiayai pembelian 32 peratus kepentingan dalam MAS pada 1994.

Tajudin diperintah membayar jumlah asas pinjaman pada 31 Disember 2005 sebanyak RM589,143,205.57 serta faedah dua peratus atas kadar pemberian pinjaman asas Malayan Banking Bhd mulai 1 Januari 2006 sehingga tarikh penyelesaian penuh kes itu kepada Pengurusan Danaharta dan dua anak syarikatnya.

Mahkamah Tinggi turut membatalkan tuntutan balas Tajudin, yang berjumlah RM13.46 bilion, terhadap 24 responden termasuk Danaharta, dua anak syarikat serta pegawainya, Datuk Azman Yahya, Datuk Abdul Hamidy Hafiz, Datuk Zukri Samat dan Datuk Kris Azman Abdullah. – BERNAMA

 



Comments
Loading...