Rakyat Sabah jangan terpedaya pujian Najib


(Harakah Daily) – Rakyat Sabah diperingatkan agar tidak termakan dengan pujian menggunung Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd. Razak berkenaan negeri Sabah yang tidak lagi merupakan negeri yang miskin.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julpikar Abd. Mijan dalam kenyataannya turut mengakui bahawa Sabah merupakan negeri yang terkaya dengan hasil bumi yang banyak.

Namun begitu, ujarnya rakyat perlu sedar bahawa sekadar negeri kaya tidak membawa apa-apa perubahan sekiranya tidak membawa apa-apa manfaat dan hasil untuk diberikan kepada rakyat.

“Kita (PAS) akui bahawa Sabah ini negeri yang kaya. Itu betul. Najib cakap betul. Jangan tengok negeri. Tengok rakyatnya. Kalau datang sekadar dua tiga hari. Melihat dari udara menggunakan helikopter, sudah cakap negeri ini kaya,” ujarnya.

Najib, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Sabah mendakwa perubahan besar dalam lanskap pembangunan dan ekonomi sejak 1963, menjadikan Sabah bukan lagi negeri termiskin malah berpotensi untuk maju ke hadapan.

Menurut Julpikar lagi, Najib tidak perlu untuk berasa gusar sekiranya berkata dengan kebenaran dan fakta kerana itu telah meyakinkan rakyat Sabah tetapi, amalan berbohong dan mendustakan kebenaran menyebabkan rakyat semakin celaru dan bingung dengan pemimpin Umno.

“Tak payah nak berbohong dengan orang Sabah. Sudah-sudahlah berbohong dan menipu rakyat. Takkan dah jadi Perdana Menteri pun sanggup berdusta dengan kebenaran,” jelas Julpikar.

Sebaliknya kata Julpikar, Najib dan rombongan Umno seharusnya menilai dengan baik dan teliti dengan melihat permasalahan yang dialami rakyat Sabah.

Menurutnya, masih wujud di mana rakyat di pinggir bandar Kota Kinabalu diapit dengan bangunan pencakar langit tetapi kehidupan rakyat masih seperti di era penjajahan.

“Parlimen Sepanggar, di sana rakyatnya masih lagi menagih janji-janji wakil rakyatnya yang lamanya lima tahun lalu. Setiap kali masuk kampung, Yang Berhormat janji buat itu buat ini… keluar kampung, hilang semua janji yang ada.

“Ini perangai wakil rakyat Umno yang seperti kebudak-budakkan. Janji lima tahun lalu belum lagi tertunai, masuk tahun ini… berjanji lagi… nak pilihanraya nanti, lagi banyak janjinya,” ujar Julpikar dalam nada kecewa.

Katanya, perlu dijelaskan kepada rakyat bahawa, bandingan antara Kelantan dan Sabah adalah terlalu jauh.

Mengikut statistik, hak royalti minyak berjumlah RM2 billion kepada Kelantan turut gagal dipatuhi oleh kerajaan dan Petronas selain meninggalkan hutang berjumlah RM720 juta yang kini terpaksa ditanggung kerajaan PAS sejak tahun 1990.

“Sejak sebelum kedatangan Najib ke Sabah, kita difahamkan beliau akan membuat pengumuman mengenai RCI. Kecoh sana-sini, terpampang menteri-menteri Umno bagi tau Najib nak umum RCI. Rakyat tunggu. Sampai dah balik ke Kuala Lumpur, langsung tak ada disebut pasal RCI. Ini penipu,” ujarnya.

Katanya, rakyat sekarang sudah celik maklumat dan tidak mudah tertipu dengan mainan politik Umno yang songsang.

“Kita (PAS) tahu, rakyat celik dan faham. Rata-rata rakyat dari kecil hingga dewasa sudah mengenali Facebook, blog dan perisian-perisian tertentu,” katanya.

Pemuda PAS, ujarnya turut bersedia untuk berdebat dengan mana-mana pemimpin Umno berkaitan keadaan Sabah dan rakyat Sabah yang dihimpit kemiskinan.

“Kita (PAS) bersedia menyahut cabaran. Mana-mana pemimpin Umno yang pandai cakap besar untuk kita berbahas dan membicarakan isu ini di hadapan rakyat.

“Sama ada pemimpin pusat mahupun pemimpin negeri hatta Perdana Menteri sekalipun. Kalau Najib mengelak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berdebatlah dengan Pemuda PAS Sabah,” kata Julpikar.



Comments
Loading...