Debat CSL vs LGE : MCA tunjukkan lagi sikap chauvinisnya


ASPAN ALIAS

Perdebatan diantara Lim Guan Eng (LGE) dan Chua Soi Lek (CSL)semalam menampakkan sikap dan pandangan MCA dan Presidennya yang ‘flip-flop’. Pandangan Soi Lek jelas menunjukkan lidah bercabang-cabang diantara parti terbesar dalam BN, UMNO dan MCA. Saya tidak tahu mengapa CSL memberanikan diri untuk berdebat dengan topik sistem dua parti atau sistem dua bangsa dengan Setiausaha Agong DAP itu. Dari awal lagi saya telah menelah yang MCA akan gagal untuk meyakinkan orang ramai yang parti itu adalah sebuah parti yang hampir hilang seluruh kerdibilitinya dimata rakyat ramai.

Kita boleh mempelajari beberapa perkara dalam perbahasan ini. Pertamanya ia menunjukkan yang MCA lah yang anti Islam dengan menjadikan perhubungan baik di antara PAS dan DAP sebagai isu besar dalam perdebatan itu. Bagi MCA, PAS itu adalah parti Islam dan kerjasama DAP dengan PAS itu hanya akan menjadikan DAP sebagai keldai politik PAS untuk kepentingan PAS dan Islamnya.

Dengan kenyataan CSL itu maka hilanglah isu DAP anti Melayu dan Islam itu kerana MCA menganggapnya sebagai satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bagi MCA ia mahukan DAP menolak PAS kerana PAS adalah parti Islam yang didominasi oleh orang Melayu Islam. MCA tidak selesa melihat kerjasama DAP dengan parti Islam ini dan ia menunjukkan yang anti Melayu dan anti Islam itu adalah MCA. MCA masih tidak menyedari yang isu rasis dan agama ini adalah isu yang tidak lagi laku kepada generasi sekarang ini.

UMNO pula selalu menyatakan tentang isu ini bertentangan dengan pandangan MCA. Oleh kerana permainan politik yang dianggap tidak bijak UMNO sebaliknya menuduh PAS diperguna oleh DAP pula. Ini menunjukkan yang parti-parti komponen dalam BN masih mahukan cara mengekalkan kuasa dengan memecah belahkan kerjasama yang terjalin diantara parti-parti dalam pakatan itu.

CSL menggunakan isu kerajaan Perak yang diketuai oleh seorang pemimpin PAS (Nizar) walaupun DAP telah memenangi 18 kerusi dalam pilihanraya yang lalu, sedangkan PAS dan PKR hanya memenangi 13 kerusi. CSL telah cuba membuktikan tuduhan beliau yang DAP diperguna oleh PAS sehinggakan calon PAS telah menjadi Menteri Besar Perak sedangkan majoriti kemenagan itu adalah dari pihak DAP. CSL lupa yang UMNO mempunyai majoriti kerusi di Pulau Pinang semasa BN mentadbir negeri itu sedangkan Ketua Menterinya di wakili oleh parti Gerakan.

Dalam kes di Perak CSL mesti faham yang jawatan Menteri Besar mesti seorang Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang tubuh negeri itu maka itulah sebabnya Nizar Jamaludin telah dilantik menjadi Menteri Besar negeri itu sehinggalah BN melakukan rampasan kuasa mengikut pintu belakang dua tahun dahulu.

Dalam kes di Perak itu ia dapat membuktikan yang DAP menjunjung perlembagaan negara dan negeri dan sanggup merelakan seorang Melayu menjadi Menteri Besar walau pun parti itu memenangi kerusi yang lebih dari parti-parti lain dalam komponen PR itu. Oleh kerana itu UMNO, BN dan orang Melayu keseluruhannya tidak ada sebab untuk merasa sangsi untuk memberikan sokongan kepada DAP dari sekarang ini.

Sesungguhnya tuduhan MCA dan UMNO terhadap DAP yang bersalah-salahan itu hanya menunjukkan ketakutan MCA terhadap sokongan rakyat berbilang kaum terhadap DAP sekarang ini. Dengan kata-kata CSL semalam ia membuktikan yang MCA sudah terasa ‘desperate’ untuk mendapatkan sokongan rakyat terutamanya kaum Cina kepada parti itu walaupun CSL memainkan isu rasis yang begitu menebal dalam perbahasan itu. BN tidak dapat memberikan pendapat dan pandangan yang sama terhadap DAP; UMNO menuduh DAP rasis dengan mengatakan parti itu memperkudakan PAS dan sebaliknya MCA pula menuduh DAP diperkudakan oleh PAS.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...