Jangan paksa PNB jual asset


A Kadir Jasin, The Malaysian Insider

Patutkah Permodalan Nasional Berhad (PNB) digesa atau dipaksa menjual pelaburan bukan terasnya kepada usahawan Bumiputera?

Pada 9 Feb lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menggesa PNB dan Khazanah Nasional Berhad menjual pelaburan bukan teras (non-core) mereka kepada usahawan Bumiputera.

Media massa berkata Perdana Menteri menggesa, tetapi Najib, dalam ucapan yang sama, menyatakan yang Khazanah dan PNB, masing-masing, telah mengenal pasti lima buah syarikat untuk dijual.

Jadi bukanlah gesaan lagi, tetapi sudah menjadi satu tindakan.

Dalam kolum “Other Thots” majalah Malaysian Business, keluaran 16-29 Feb, saya, antara lain, mengulas: “…tetapi saya ingin menggesa agar kita berhati-hati mendesak atau memaksa PNB menjual pelaburan yang dianggap bukan teras. Lagipun, sama ada sesuatu pelaburan itu teras atau bukan teras adalah terkaan.

“Pelaburan teras pun boleh diklasifikasikan sebagai bukan teras kalau berlaku tekanan dari atas atau apabila ada pemain pasaran saham yang tidak berprinsip mengemukakan skim cepat kaya yang meyakinkan.”

Pada 14 Feb pula, The Star Online melaporkan yang PNB mungkin menjual syarikat kawalannya seperti MNRB Holdings Berhad, Bonia Corporation Berhad dan Asia File Corporation Berhad.

Jual-beli aset adalah perkara biasa bagi mana-mana perniagaan pun. Selain pelaburan tetap dan jangka panjang, PNB menjual-beli asset secara harian di Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada operasi tabung-tabung amanah sahamnya.

Tetapi, menjual terus sebuah syarikat yang dikawalnya adalah satu tindakan yang tidak harus dilakukan sewenang-wenangnya atas apa juga alasan.

Adalah tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip pembahagian kekayaan yang adil jika PNB menjual pelaburannya kepada individu atau syarikat Bumiputera dengan membelakangkan kepentingan jutaan Bumiputera yang menjadi pemenang saham amanahnya.

Tugas memindahkan kekayaan korporat kepada usahawan Bumiputera lebih elok dilakukan oleh Khazanah Nasional, bukan oleh PNB yang sudah pun berkongsi kekayaan korporat dengan Bumiputera.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...