Makin ramai jiran kita rumah dilelong bank
Syarak Mengata, Adat Menurut
Baru-baru ni kenalan saya yang tinggal di kawasan taman perumahan kos rendah di Senawang mendapat notis dari bank rumahnya akan dilelong kerana tunggakan 6 bulan berjumlah hampir RM2,000. Kalau RM10, RM20 bolehlah kita tolong, RM2,000 payah juga. Bulan lepas pula rumah dia, TNB potong bekalan elektrik, juga kes tunggakan bil elektrik. Bulan ni kes rumah nak kena lelong pula.
Kesian tengok dia, kena ambil cuti satu hari, tolak gaji, nak uruskan hal rumah nak kena lelong. Ke hulu ke hilir dia di bandar Seremban seharian pergi bank, pergi KWSP dan sebagainya. Akhirnya dari RM2,000 sewa dia yang tertangguh 6 bulan, dia kena bayar pula hampir RM4,000 sebab nak bayar caj pengurusan, duit peguam dan macam-macam lagi. (Dalam fikiran saya, lebih kurang macam ALONG pula). Sekarang dia tengah tunggu proses pengeluaran KWSP untuk masalah rumahnya nak kena lelong.
Kenalan saya tadi kata banyak kes rumah kena lelong dikalangan jiran dan kenalannya di Seremban ketika ini. Ada bank tu katanya 3 bulan pun dah dapat notis lelong. Saya tengok dia kesian, dia pula tengok jiran dia lagi kesian. Sebab ramai jiran dia ni dulu kerja di sebuah kilang yang agar besar dan terkenal di Seremban. Tapi kilang tersebut dah berhentikan ramai pekerja. Walaupun dapat pampasan namun ianya masih tidak cukup untuk bayar macam-macam bil, ansuran, yuran sekolah dan macam-macam lagi.
Saya tanya kenalan saya tadi yang gajinya sekitar RM1000 sebulan, dah dapat RM500 BR1M ke belum. Katanya belum lagi, dengan nada menaruh harapan tinggi untuk segera dapat RM500 tersebut.